Ahli Parlimen PKR Hassan Karim memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menggunakan pendakwaan terpilih terhadap seteru politik, susulan siri soal siasat pemimpin Perikatan Nasional (PN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta penahanan ahli Parlimen Bersatu.
"Saya di blok backbencher menyedari, kita boleh panggil semua tokoh besar ini, menteri, mantan-mantan perdana menteri, sebab kita ada kuasa, kita eksekutif, ada kuasa. SPRM di bawah kita, PDRM di bawah kerajaan.
"Jadi saya bimbang sekiranya kalau tak diberi peringatan boleh berlaku pendakwaan yang terpilih, parti lawan kita jadi mangsa.
"Kalau ada asasnya tidak mengapa, tapi saya takut, bijak pandai dalam tradisi demokrasi menyebut, 'Kuasa itu boleh membawa kepada korupsi. Sekiranya kuasa itu mutlak, korupsi juga akan menjadi mutlak',” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Amaran itu dibuat ketika Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu didakwa atas dua pertuduhan rasuah hari ini, berikutan penahanannya bersama seorang lagi anggota parti itu malam tadi.
Ini berikutan beberapa siri kenyataan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuduh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diketuai pengerusinya Muhyiddin Yassin melakukan rasuah dan salah guna kuasa untuk memanfaatkan tabung parti.
Muhyiddin yang sejak itu menafikan dakwaan tersebut, berkata terdapat langkah untuk memberi tekanan kewangan ke atas gabungannya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.
Hassan yang sebelum ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan ahli PKR berikutan kritikannya terhadap Anwar, berkata perdana menteri mempunyai kuasa yang luas, sehingga nasihatnya juga harus didengari oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa itu boleh membawa kepada korupsi. Sekiranya kuasa itu mutlak, korupsi juga akan menjadi mutlak,” katanya disambut tepukan daripada ahli Parlimen pembangkang.
“Jadi kuasa itu harus digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru. Saya percaya tidak sia-sia Yang di-Pertuan Agong menyebut tentang perlunya integriti,” tambahnya, merujuk titah Agong di Dewan Rakyat minggu lalu.
Hassan turut mengkritik tindakan Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan, dan memberi amaran tentang berulangnya skandal 1MDB kerana perdana menteri mengambil alih portfolio itu.
“Eloklah kita elak daripada pengalaman negara gagal Sri Lanka.
“Selamatkanlah Malaysia.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.