- Iklan -
Berita

Silibus sekolah perlu dinilai semula, kata ahli Parlimen PN

Ia jauh daripada kebolehan dan kemampuan murid pada usia yang masih muda, kata Ahmad Marzuk.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Murid kembali ke bilik darjah di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.
Murid kembali ke bilik darjah di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperhalusi dan menilai semula semua silibus yang diajarkan di sekolah, menyifatkan ianya jauh daripada kebolehan dan kemampuan anak-anak murid pada usia yang masih muda.

Menurut Ahmad Marzuk Shaary (PAS- Pengkalan Chepa), misalannya subjek Bahasa Melayu di peringkat Darjah 1 sudah terbahagi kepada dua tahap di mana kedua-duanya dilihat sangat tidak sesuai dengan tahap pemikiran anak murid berusia tujuh tahun.

Katanya, pada usia muda itu mereka sudah dibebankan dengan silibus yang memerlukan kemahiran membaca bukannya kemahiran yang mendidik tentang suku kata dan penggunaan perkataan.

Katanya, silibus KPM membuatkan kanak-kanak di usia berkenaan harus cepat dalam menguasai dan celik 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Selain itu kemahiran berfikir aras tinggi juga diterapkan dalam silibus sekolah yang dilihat akan membebankan murid untuk berfikir.

“Kemahiran berfikir yang tinggi akan menjatuhkan motivasi murid untuk belajar dan perlu dikaji semula oleh pihak kementerian,” katanya dalam ucapan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Marzuk kadar kemenjadian murid untuk mencapai tahap-tahap tertentu dalam silibus pembelajaran juga secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada para guru dan ibu bapa.

Ini kerana guru-guru perlu bekerja keras untuk memastikan murid-murid dapat menguasai tahap silibus yang ditetapkan di peringkat kementerian.

Sedangkan pada masa sama, para guru turut terikat dengan hal ehwal murid bahkan juga dibebankan dengan tugas pengkeranian selain seorang guru ditugaskan untuk menjaga tiga hingga empat buah kelas dalam satu masa.

“Ini sangat memenatkan.

“Profesion guru sepatutnya menjadi lebih menyeronokkan sekiranya guru memberikan fokus yang jitu terhadap subjek yang diajar,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi