- Iklan -
Berita

Zahid dalang pendakwaan terancang terhadap Bersatu, kata Muhyididin

Katanya, sebelum ini terdapat kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Zahid seolah-olah menjadi bentuk percubaan untuk menuduh Bersatu sebagai puak 'kluster mahkamah'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin percaya pendakwaan kes mahkamah terhadap pemimpin parti itu didalangi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bertujuan untuk melemahkan partinya. 

Katanya, sebelum ini terdapat kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Zahid seolah-olah menjadi bentuk percubaan untuk menuduh Bersatu sebagai puak “kluster mahkamah”.

"Selepas ini akan ada kluster baru mahkamah juga. Jadi itu merupakan satu perkara yang dah awal-awal ‘pre-attempt’.

"Jadi apa yang berlaku adalah perkara yang saya fikir (sudah) dirancang dan terancang," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Terdahulu, Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang dituduh meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek JanaWibawa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalang itu diusahakan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak senang dengan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin kuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu. 

Atas sebab itu, katanya, pendakwaan Wan Saiful pada hari ini adalah pendakwaan terpilih dan parti itu sudah menjadi sasaran pihak tertentu.

Katanya pada hari ini, menerima sumbangan dana politik tiba-tiba sahaja berubah menjadi satu kesalahan jenayah. 

Sedangkan, parti-parti politik lain juga menerima dana politik bagi kerja politik mereka.

"Tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah." 

PN terjejas PRN?

Ketika ditanya oleh pemberita sama ada pendakwaan terhadap Wan Saiful akan memberikan kesan kepada siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlaku dalam masa terdekat, Muhyiddin menegaskan hal itu terserah kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, katanya, sudah pasti PN berdepan kesukaran untuk menempuh PRN kerana akaun parti dibekukan buat beberapa bulan. 

Perkembangan itu bakal menjejaskan pengurusan dan perjalanan parti untuk berdepan PRN.

"Saya sudah membuat rayuan kepada Azam Baki untuk benar-benar menyahbeku.

“Ini hanya untuk berlaku adil kerana kita sebagai parti politik memerlukan dana apa yang kita ada dalam pengurusan parti," katanya.