- Iklan -
Berita

Daripada berhenti secara senyap kepada ‘intai banyak jawatan kosong’

Fenomena ‘rage applying’ semakin meningkat, apabila ramai pekerja yang kecewa cuba mengimbangi pendapatan dan persekitaran di tempat kerja dengan kos sara hidup.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja pejabat selepas makan tengah hari di KL Sentral, Kuala Lumpur.
Pekerja pejabat selepas makan tengah hari di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Masih segar dalam ingatan Syahidah sewaktu dia memperoleh pekerjaan yang diimpikan. Bagaimanapun, hari ini, dia sedang berusaha mencari pekerjaan baru – apa sahaja dalam bidangnya yang sepadan dengan kelayakannya.

Kebanyakan ketidakpuasan hatinya berkait dengan orang atasan di pejabatnya, serta kebimbangan mengenai gaji yang tidak sepadan dan kos sara hidupnya.

"Gaji hanya cukup untuk menampung keperluan asas saya," katanya.

"Saya tidak ada banyak simpanan dan saya menghadapi tekanan berterusan daripada bos saya."

Memandangkan jumlah simpanan dalam akaunnya tidak begitu mencukupi, maka keputusan untuk berhenti sebelum mendapat pekerjaan baru bukanlah satu pilihan.

Buat masa ini, apa yang boleh dilakukan ialah terus memohon jawatan di syarikat dan organisasi lain, melalui portal pekerjaan dalam talian, selain cadangan daripada rakan serta keluarga.

Syahidah adalah sebahagian daripada gelombang pekerja yang bosan dengan suasana kerja mereka sekarang, yang giat mencari peluang baru di tempat lain.

Fenomena terbaru dikenali sebagai “rage-applying” muncul selepas trend “berhenti secara senyap” yang mula melanda pada 2022, terutama di negara Barat, di tengah-tengah peningkatan kadar inflasi yang mengakibatkan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan tidak stabil.

Apabila trend berhenti secara senyap berleluasa, ia menyaksikan pekerja melakukan usaha yang cukup untuk mengharungi hari mereka, manakala “rage-applying” pula ialah tindakan memohon pekerjaan baru secara serentak ke beberapa syarikat berbeza kerana kecewa atau rasa tidak puas hati di tempat kerja semasa.

Penyelidik Amanda Yeo berkata trend itu merupakan kesinambungan daripada peralihan sikap terhadap kerja, terutamanya dalam kalangan mereka yang mahir menggunakan platform digital berikutan pandemik Covid-19.

"Daripada mengikuti waktu kerja yang ketat di pejabat, mereka lebih cenderung untuk bekerja di mana-mana, pada bila-bila masa, mengikut kemampuan mereka," katanya kepada MalaysiaNow.

"Jadi apabila mereka merasakan bahawa kebajikan pekerja tidak memuaskan di tempat kerja, maka mereka akan mula memohon banyak jawatan kosong demi memenuhi sasaran mereka.”

Kedua-dua trend ini yang dipanggil sebagai peletakan jawatan besar-besaran dilihat berlaku di Amerika Syarikat (AS) ketika kemuncak Covid-19, di mana berjuta-juta pekerja mogok atau berhenti kerja semata-mata kerana pandemik yang turut berkait dengan kekecewaan.

Hari ini, sekurang-kurangnya sebahagian daripada kekecewaan ini dikaitkan dengan situasi ekonomi dan jurang antara gaji dan kos sara hidup mereka.

Di TikTok, pengguna dari Kanada, Redweez mendakwa sudah memperoleh kenaikan pendapatan sejumlah AS$25,000 susulan trend “rage applying”. Videonya mendapat kira-kira dua juta tontonan setakat ini.

LRT di waktu petang penuh dengan ramai orang, selepas seharian bekerja di pejabat, 23 Mei, 2022.
LRT di waktu petang penuh dengan ramai orang, selepas seharian bekerja di pejabat, 23 Mei, 2022.

Sensitif terhadap kritikan?

Shahryn Azmi, pengasas portal pekerjaan tempatan Maketimepay, berkata kedua-dua trend ini nampaknya berpunca daripada kesedaran yang meluas tentang hak pekerja.

"Ada yang mungkin cakap kita mudah tersentuh berbanding sebelum ini – yang kita ini terlalu sensitif dan tidak dapat bertahan di waktu sukar," katanya.

"Kita nampaknya kurang mampu untuk biarkan sahaja sesuatu masalah berlalu, malah sebaliknya terdorong untuk melakukan apa saja dalam beberapa cara."

Beliau berkata pendigitalan juga menyumbang kepada trend itu, dengan segala-galanya cuma di hujung jari, sebagai contoh resume dan templat surat iringan hingga kepada surat permohonan yang boleh didapati secara percuma secara dalam talian.

"Anda tidak rasa ia membuang masa sebab ia menyeronokkan," katanya.

"Anda sedang melakukan sesuatu untuk membalas dendam terhadap majikan anda sekarang."

Yeo, dalam pada itu berkata, golongan muda kadangkala merasakan sumbangan kerja mereka tidak dihargai.

Dalam sesetengah keadaan, kenaikan gaji bukan sesuatu yang dimahukan meskipun sudah bekerja bertahun-tahun.

Kajian yang dikeluarkan awal tahun ini oleh firma pengambilan pekerja Robert Walters mendapati bahawa 48% golongan profesional di Malaysia menjangkakan kenaikan gaji untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

Komunikasi sehala

Yeo juga memberi amaran majikan yang mengamalkan pendekatan komunikasi sehala dengan pekerja berisiko kehilangan pekerja mereka.

"Dan mereka mungkin berdepan kesukaran mencari pengganti untuk terus menjana produktiviti syarikat," katanya.

Shahryn dalam pada itu berkata “rage applying” bermaksud pekerja berpindah ke tempat kerja lain kerana muak dengan sentimen negatif.

"Mereka tidak berhenti untuk meluaskan pengalaman mereka, tetapi kerana mereka mahu keluar dari ruang mereka sekarang," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa individu sebegitu akan terus mendapat pekerjaan lain yang mereka tidak mahukan kerana “tidak mendapat kepuasan”.

"Mereka mungkin akan terus berhenti kerja, meskipun atas sebab yang berbeza,” tambahnya.

"Apabila mereka dapat pekerjaan lain yang tidak sesuai, mereka berhenti dan merancang langkah seterusnya, tetapi dengan kurang berdrama kali ini."

Bagaimanapun, bagi Syahidah, dia tidak akan menyesal untuk meninggalkan syarikatnya sekarang.

"Saya suka apa yang saya lakukan, tetapi saya tidak tahan dengan persekitaran," katanya.

"Ada bidang lain yang saya minati, dan saya sedang bersiap sedia untuk temu duga."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.