- Iklan -
Berita

Kaum lain tidak faham perarakan Pemuda PAS, kata menteri

Tidak perlu jadi jurucakap polis ketika siasatan itu sedang berlangsung, kata Saifuddin Nasution.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata bukan semua pihak dapat memahami pihak penganjur Himpunan Pemuda Islam Terengganu di Setiu, Terengganu, 17 Februari lepas. Gambar: Facebook
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata bukan semua pihak dapat memahami pihak penganjur Himpunan Pemuda Islam Terengganu di Setiu, Terengganu, 17 Februari lepas. Gambar: Facebook

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa dari segi politik, semua pihak perlu mengakui penganjuran program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) mempunyai nilai sensitiviti tertentu. 

Katanya, penganjuran program itu boleh jadi mempunyai motif tersendiri seperti nilai sentimental yang membangkitkan semangat, menghargai sejarah silam dan kecemerlangan tamadun Islam suatu ketika dahulu. 

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pihak akan memahami dan berpandangan yang sama dengan pihak penganjur. 

"Itu sudut pandangan kita, tetapi di sisi lain masyarakat berbilang kaum ada sudut pandang yang berbeza. 

"Kerana itulah ia harus ada beberapa pertimbangan dalam menjalankan aktiviti seperti ini," katanya dalam sesi menggulung bahas Titah Diraja di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab celahan daripada Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mengenai perkembangan terkini siasatan polis terhadap perhimpunan itu. 

Jumaat lalu, Dewan Pemuda PAS Terengganu dilapor menganjurkan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di daerah Setiu dengan dirasmikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Himpunan itu dikatakan diadakan sebagai acara tahunan sejak 1991, mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata antaranya pedang gergasi. 

Sehingga kini, polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program bagi membantu siasatan. 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tiada keperluan untuk menjadi jurucakap polis ketika siasatan itu sedang berlangsung. 

"Letak situ dulu. Biar siasatan itu berjalan. 

"Kalau ada sabit kes atau sebagainya biar kertas siasatan itu sampai ke peguam negara. 

“Kalau tidak, ia akan tamat di situ," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.