Kerajaan dianggarkan menanggung kerugian hasil duti eksais, cukai jualan dan duti import bernilai bilion ringgit akibat aktiviti penyeludupan rokok produk tembakau, rokok dan minuman beralkohol, kata Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim.
Ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, Sim berkata kehilangan hasil cukai-cukai tersebut berdasarkan hasil rampasan pada tahun 2021 bernilai RM350 juta dan RM364 juta pada tahun 2022.
Manakala, mengikut perkiraan dan anggaran pihak industri melalui laporan-laporan yang dihantar, nilai kerugian yang ditanggung kerajaan sudah tentu lebih besar.
“Kemungkinan mencecah sehingga RM5 bilion setiap tahun,” katanya menjawab pertanyaan oleh Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).
Perkembangan ini menunjukkan hasil rampasan penyeludupan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) jauh lebih rendah berbanding dengan anggaran yang disediakan oleh pihak industri dan kerajaan yang sepatutnya mencecah nilai bilion ringgit.
Mengulas lanjut, Sim berkata kerajaan melalui pihak berkuasa akan terus komited mempertingkatkan usaha membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras dalam usaha mengekang ketirisan hasil cukai.
Selain itu, Kastam juga akan terus berusaha menumpaskan sindiket-sindiket jenayah tersebut melalui usaha berterusan seperti aktiviti kawalan, rondaan, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan, pemeriksaan dan sekatan jalan raya.
Antara lain katanya, Kastam juga mengambil tindakan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman serta mengenakan hukuman yang lebih tinggi sejak tahun 2020.
“Kastam juga menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta pihak industri dan menjalankan maklumat perisikan dan operasi antarabangsa.”
Pada masa sama, Sim memberitahu Dewan Rakyat terdapat peningkatan hasil kutipan rokok dan tembakau iaitu dari RM3.27 bilion pada tahun 2020 kepada RM3.47 pada tahun 2021.
Sementara itu, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak industri pula kejadian rokok seludup di Malaysia menunjukkan penurunan kepada 57.3% pada tahun 2021 dan seterusnya menurun lagi kepada 56.6% pada 2022 berbanding 63.8% pada tahun 2020.