- Iklan -
Berita

Siti Bainun nafi beri Bella makan cili, najis dan simbah air panas

Menurut Siti Bainun tuduhan yang dibuat oleh bekas penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood terhadapnya semasa saksi pendakwaan kelima itu memberi keterangan di mahkamah adalah tidak benar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali. Gambar: Bernama
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali. Gambar: Bernama

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kejadian remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disuruh makan cili dan najis selain diikat, disimbah air panas serta ditekap dengan kuali panas tidak pernah berlaku.

Siti Bainun, 31, berkata tuduhan yang dibuat oleh bekas penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood terhadapnya semasa saksi pendakwaan kelima itu memberi keterangan di mahkamah adalah tidak benar.

"Seingat saya, Yasmin semasa menjadi saksi beritahu mahkamah kononnya saya suruh dia ikat Bella setiap masa, suruh bagi cili, makan najis, simbah air panas, tekap kuali panas dan marah-marah. Sememangnya tiada keperluan untuk saya berbuat begitu kepada Bella," katanya.

Beliau berkata demikian semasa disoal peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf ketika membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja berumur 13 tahun itu.

Siti Bainun berkata dia juga tidak pernah mengarahkan Yasmin dan seorang lagi bekas penghuni Rumah Bonda dikenali sebagai Aida supaya menganiaya Bella atau menyuruh mereka menyimbah air panas terhadap remaja perempuan itu kerana Bella tidak pernah sekalipun menyusahkannya. 

Pada prosiding sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun memberi Bella makan 20 biji cili padi, mengugut akan menyimbah air panas ke atas Bella serta mengarahkannya dan Aida memegang Bella serta memaksa remaja itu melutut.

Disoal Mohammad Farhan mengenai keterangan Yasmin mengenai arahan memberi Bella makan cili, Siti Bainun menjawab sepanjang pengetahuannya perkara tersebut tidak pernah berlaku terhadap anak-anak jagaannya.

"Saya tidak pernah buat apa-apa kepada sesiapa pun, walaupun dalam banyak-banyak orang dalam rumah itu, Yasmin yang banyak memeningkan kepala saya setiap hari," katanya.

Siti Bainun diperintah membela diri atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya remaja itu, sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.