- Iklan -
Berita

Laporan SPRM terhadap Nazlan dihantar ke ketua hakim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Azalina Othman Said berkata ini berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim tahun 2009.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Kerajaan mengesahkan siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai dan dihantar kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Azalina Othman Said berkata, surat yang diterimanya bertarikh 21 Februari 2023 menyatakan satu laporan SPRM terhadap hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak itu pada tarikh sama sudah dikemukakan kepada ketua hakim negara.

Katanya, ini berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim tahun 2009.

"Tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini dimaklumkan kepada saya melalui surat itu.

"Perkara ini juga tertakluk kepada keputusan ketua hakim negara selaras dengan Fasal 2, 3 dan 3A Perkara 23 Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, melalui kuasa budi bicara yang diberikan kepada peguam negara di bawah Fasal 3, Perkara 145 amat luas dan boleh menuduh mana-mana orang termasuk seorang hakim sekiranya keterangan bagi sesuatu kesalahan memenuhi segala elemen pertuduhan berkenaan.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak akan campur tangan kuasa Peguam Negara/Pendakwa Raya," kata Azalina.

SPRM membuka kertas siasatan terhadap Nazlan susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada September tahun lalu, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.