- Iklan -
Berita

MB, ketua menteri 6 negeri sepakat timbang bubar DUN Jun depan

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selepas mencapai kesepakatan ketika sesi minum petang mereka di Kuala Lumpur semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri besar dan ketua menteri enam negeri sepakat mengadakan pilihan raya negeri pada Jun tahun ini pada pertemuan di Kuala Lumpur, 22 Februari. Gambar: Facebook
Menteri besar dan ketua menteri enam negeri sepakat mengadakan pilihan raya negeri pada Jun tahun ini pada pertemuan di Kuala Lumpur, 22 Februari. Gambar: Facebook

Menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri semalam mencapai kata sepakat untuk menimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam dua minggu terakhir pada Jun nanti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri tahun ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebooknya memaklumkan kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang mereka di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 yang bersidang selama dua hari bermula semalam.

"Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini. Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023," katanya.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Dalam hantaran yang sama Amirudin turut berkongsi foto beliau duduk bersama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Amirudin berkata persefahaman itu akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang di-Pertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

"Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Sanusi yang turut memuat naik foto pertemuan menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dalam hantaran Facebooknya berkata beliau berpendapat tarikh paling sesuai bagi pembubaran DUN ialah pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun 2023.

Ketua Menteri Pulau Pinang pula dalam catatan Facebook berkata: “Bagi tarikh Pilihan Raya Negeri, ia adalah tanggungjawab perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat keputusan,”.

Samsuri dalam hantaran Facebooknya berkata sekiranya diperkenankan Raja-raja Melayu dan Tuan Yang Terutama Negeri, kesemua enam menteri besar dan ketua menteri sependapat bahawa minggu ketiga atau minggu keempat pada bulan Jun masa paling sesuai untuk membubarkan DUN.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.