- Iklan -
Berita

Menu Rahmah untuk semua, kata menteri

Katanya, usaha diperkenalkan di bawah Payung Rahmah itu dapat meringankan beban dan amat bermakna kepada mereka yang memerlukan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja membungkus makanan ke dalam beg plastik untuk dijual di bawah program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.
Pekerja membungkus makanan ke dalam beg plastik untuk dijual di bawah program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.

Pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan harga serendah RM5 dapat membantu setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan pendapatan mahupun taraf kehidupan rakyat. 

Menteri berkenaan Salahuddin Ayub ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam berkata usaha diperkenalkan di bawah Payung Rahmah itu dapat meringankan beban dan amat bermakna kepada mereka yang memerlukan. 

"Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium, takkanlah saya sebagai menteri dan kementerian dalam sesi perbincangan, rela untuk menerima mana-mana peniaga membuat satu menu kelas terendah yang mungkin kuah cair atau nasi daripada beras tak berkualiti dan ikan atau ayam tak berkualiti. 

"Kita juga tak namakan itu menu B40, semua orang boleh menikmati hidangan itu kerana kita ingin menjaga juga air muka dan maruah B40. Ini adalah hidangan untuk semua...Rahmah for all, Rahmah untuk semua," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu mendapat sambutan baik daripada rakyat dan peniaga termasuk rangkaian makanan segera serta gerai-gerai di hentian Rehat dan Rawat (RnR) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). 

Sementara itu Salahuddin berkata pihak kementerian perlu menjalin kerjasama rentas kementerian bagi menyelesaikan isu kos sara hidup. 

"Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) bertanggungjawab dalam kos sara hidup, kami sedang berusaha keras," katanya. 

Katanya selain KPDN 14, kementerian lain turut terlibat dalam sesi penggulungan semalam, antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Persidangan dewan bersambung hari ini.