- Iklan -
Berita

Hospital kerajaan masih guna sistem komputer lebih 20 tahun lepas

Difahamkan, ada komputer di hospital masih menggunakan sistem operasi Windows 2000 yang mana ia sering mengalami kelewatan ataupun 'lagging'.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pesakit menunggu giliran untuk mendapatkan ubat dari jabatan farmasi selepas berjumpa dengan doktor di Klinik Kesihatan Ampang, 23 April 2022.
Pesakit menunggu giliran untuk mendapatkan ubat dari jabatan farmasi selepas berjumpa dengan doktor di Klinik Kesihatan Ampang, 23 April 2022.

Doktor di hospital kerajaan bukan sahaja berdepan dengan tekanan daripada kekurangan kakitangan dan beban kerja yang semakin berat, akan tetapi mereka juga terpaksa menggunakan sistem komputer yang lapuk dan ketinggalan zaman.

Difahamkan, ada komputer di hospital masih menggunakan sistem operasi Windows 2000 yang mana ia sering mengalami kelewatan ataupun “lagging”.

Sistem operasi itu diperkenalkan pada 2000, iaitu 23 tahun lepas.

Seorang doktor di selatan tanah air berkata, spesifikasi perisian yang digunakan sangat rendah dan sistem operasinya juga sudah tamat lesen.

"Sepatutnya, jika seorang doktor bertemu pesakit, tidak perlu lagi kami bertanya mengenai keadaannya.

"Kami hanya perlu akses rekod kesihatan mereka di komputer.

"Malangnya, akses itu sangat lembab, tempoh 'loading' maklumat sangat lama. Jadi lebih baik kami bertanya sendiri kepada pesakit," katanya kepada MalaysiaNow yang enggan namanya didedahkan.

Katanya, akses kepada data-data dalaman juga mengalami “lagging”.

Menurut doktor itu, beban kerja akan menjadi lebih ringan jika masalah ini boleh diselesaikan.

Setiap hospital mempunyai perisian berbeza dan data tidak bersambung antara satu hospital dengan yang lain.

Sebelum ini, MalaysiaNow pernah melaporkan gesaan agar pihak berkuasa berusaha mewujudkan sistem rekod perubatan dalam talian.

Sebagai usaha pendigitalan sistem kesihatan, kerajaan baru-baru ini berkata akan memperkenalkan rekod kesihatan elektronik.

Seorang doktor di utara tanah air pula berkata, dia perlu menggunakan komputer lama bersaiz besar dengan paparan monitor yang sudah kelam.

"Komputer dengan perisian yang lebih baru digunakan di bahagian yang sibuk, atau di hospital di bandar-bandar.

"Bagi hospital di daerah, ada antara kami terpaksa menggunakan perkakas yang sudah lapuk ini," katanya.

Oleh kerana itu, dia lebih gemar menggunakan iPad miliknya namun sesetengah sistem tidak boleh digunakan pada peranti itu.

Kakitangan yang sudah berusia dengan penglihatan terhad turut berdepan masalah dengan komputer lama.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mengakui ia perlu diperbaharui. 

"Sistem perlu dinaik taraf dan penggantian," katanya kepada MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.