- Iklan -
Berita

Jangan lupakan pembangunan digital, guru beritahu kerajaan

Menurut mereka, pembangunan guru dan infrastruktur digital yang betul amat diperlukan dalam mencapai sistem pendidikan bertaraf dunia.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut kumpulan pendidik, pembangunan guru dan infrastruktur digital yang betul amat diperlukan dalam mencapai sistem pendidikan bertaraf dunia.
Menurut kumpulan pendidik, pembangunan guru dan infrastruktur digital yang betul amat diperlukan dalam mencapai sistem pendidikan bertaraf dunia.

Kerajaan diingatkan supaya tidak meminggirkan pembangunan digital dalam peruntukan tertinggi Belanjawan 2023 kepada Kementerian Pendidikan sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya, kata kumpulan pendidikan.

Mereka berkata, ini seiring dengan situasi masa kini di mana kerajaan seluruh dunia berusaha menangani masalah pendidikan seperti kekurangan akses yang sama terhadap teknologi dan kualiti pendidikan yang lebih tinggi melalui dasar pendigitalan.

Sebuah kumpulan pendidikan bertapak di Pulau Pinang, Edvolution berkata pembentangan belanjawan pada Jumaat menunjukkan kerajaan tidak berminat untuk memajukan sistem pendidikan ke hadapan. 

"Sekali lagi, peruntukan perbelanjaan kerajaan diperuntukkan untuk infrastruktur.

"Hakikat bahawa pelajar masih pulih daripada 'learning loss'.

“Isu seperti buta huruf, kehadiran yang lemah tidak ditunjukkan dalam belanjawan," kata Ketua Eksekutif Edvolution Melissa Tanya Gomes kepada MalaysiaNow.

Katanya, bagi memulihkan aspek kehilangan pembelajaran itu, belanjawan untuk pembangunan guru dan infrastruktur digital yang betul amat diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan bagi jenis-jenis berkenaan langsing tidak diletakkan dalam inti pati belanjawan berjumlah RM55.2 bilion tersebut.

Secara amnya, kata Gomes, pembangunan profesional untuk guru merupakan sebahagian kecil daripada perbelanjaan kerajaan.

Ianya sudah tentu tidak menyediakan sumber yang mencukupi untuk memastikan guru sentiasa dikemas kini dengan metodologi dan pedagogi pengajaran terkini.

"Satu-satunya platform digital kami untuk pembelajaran ialah Delima yang belum dikemas kini atau diperbaiki sejak ia dilaksanakan,” katanya merujuk kepada laman pelantar sehenti KPM untuk kegunaan para guru.

Pada hari pembukaan Penggal Kedua Parlimen pada 13 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menitahkan dasar pendidikan digital dirangka bagi memupuk bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi. 

Bercakap lebih lanjut, Gomes menegaskan sekiranya benar kerajaan mahu mencapai visi "Transformasi Pendidikan" menjelang tahun 2025, banyak kerja perlu dipergiatkan sekarang terutamanya melibatkan penggunaan teknologi dalam bilik darjah.

"Tidak hanya penting untuk mempercepat penggunaan teknologi digital di dalam kelas.

"Tetapi juga penting untuk melakukan pelaburan dalam pengembangan sumber daya manusia iaitu para guru jika kita ingin mencapai sistem pendidikan yang benar-benar bertaraf dunia.”

Dengan peningkatan peruntukan belanjawan kepada KPM tahun ini, Gomes berkata diharapkan sebahagian besar daripada pelaburan itu akan diberikan ke arah meningkatkan kemahiran dan memperkasa tenaga pengajar.

Dalam pada itu, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad juga mencadangkan supaya KPM menggunakan sebahagian kecil peruntukan tersebut untuk menyediakan perabot dan kerusi meja bagi kegunaan guru.

Dalam perkongsian di Facebook, Anuar melihat bilik guru di sekolah-sekolah sangat memerlukan perubahan.

Atas sebab itu, katanya, perlu ada peruntukan disediakan untuk menaiktaraf bilik guru dengan menggantikan juga rak baru dan penghawa dingin serta karpet.

"Elok juga selaraskan nama baru 'pejabat baru' menggantikan nama lama 'bilik guru'," tulisnya di Facebook. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.