Kemunculan semula bekas ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil dalam parti itu yang mencalonkan diri untuk jawatan sama dilihat sebagai satu langkah kebelakang, kata penganalisis.
Shahrizat yang pernah menjadi menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berbuat demikian kerana “desakan akar umbi”.
Penganalisis dari Universiti Malaya (UM) Azman Awang Pawi berkata, Shahrizat yang kini berusia 70 tahun mahu menghidupkan nostalgia lama, tatkala ketua wanita parti-parti lain dipimpin oleh golongan yang lebih muda dan bertenaga.
"Jika inilah berlaku dan diterima oleh akar umbi Umno maka parti itu akan menjadi parti yang kurang progresif dari segi penampilan calon wanita sedangkan Ketua Wanita Umno (Noraini Ahmad) penyandang ini dikenali sebagai muda, progresif dan meninggalkan imej warlord Umno dan tidak lagi 'bersifat makcik'.
“Ini tentu akan membuka persoalan seolah kelihatannya Umno tidak dapat lari daripada pemimpin-pemimpin lama dan terus bernostalgia.
“Ini tidak baik untuk penjenamaan dan pemugaran serta peremajaan parti Umno jika mahu bangkit dan bergerak ke hadapan," katanya kepada MalaysiaNow.
Sebagai perbandingan, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek yang juga menteri pendidikan berusia 46 tahun, manakala ketua dewan Wanita PAS Nuridah Mohd Salleh berusia 61 tahun.
Manakala Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun berusia 50 tahun dan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu berusia 51 tahun.
Shahrizat pernah terpalit skandal National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan suami beliau, Mohamad Salleh Ismail.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli adalah antara tonggak utama pendedahan itu.
Kerajaan pada 2019 menyaman suami dan anak-anak Shahrizat berhubung isu membabitkan nilai lebih RM200 juta.
Shahrizat yang juga bekas ahli Parlimen Lembah Pantai memegang jawatan ketua wanita hampir sedekad, menggantikan Rafidah Aziz pada 2009.
Beliau tewas kerusi Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Sementara itu, Oh Ei Sun, penganalisis politik Singapore Institute of International Affairs berkata tindakan akar umbi yang mahukan kemunculan pemimpin veteran ialah kerana kesetiaan mereka kepada tokoh yang melabur masa dan tenaga untuk memperoleh kesetiaan itu.
"Ada bintang politik baru dalam parti yang mempunyai sokongan di luar, tetapi mereka tidak meluangkan masa dan teanga untuk mendekati akar umbi parti.
"Mereka menjadi 'meteor politik' yang naik dan turun dengan pantas," katanya.
Azman menjelaskan, keberadaan dalam Umno menjadi motivasi besar untuk beliau kerana boleh dilantik sebagai pengerusi syarikat bukan kerajaan, bersesuaian dengan kedudukan beliau sebagai ketua wanita parti.
Persoalan juga timbul mengenai kesan kehadiran Shahrizat terhadap hubungan dengan parti-parti lain dalam kerajaan.
Bagi Azman, perkara itu sudah pasti.
"Sekiranya beliau mendapat tempat, hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) akan menerima impak kerana beliau pernah menjadi sasaran Rafizi," katanya.
Oh pula berkata, selagi Umno dan PH berpegang kepada prinsip “marriage of convenience” dan berkongsi musuh yang sama, perseteruan terdahulu boleh ditangguhkan sementara waktu.