Kumpulan peguam hak asasi manusia mengecam penahanan dua pelajar berikutan rakaman video yang menunjukkan mereka mengkritik kertas Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Lawyers for Liberty (LFL) berkata cara kedua-dua mereka ditahan mengejutkan, menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
"Kami sangat bimbang tindakan polis dalam kes ini akan membawa kerisauan kepada para ibu bapa di seluruh negara jika tidak ditegur dan ditangani," kata LFL dalam satu kenyataan.
Ia meluahkan rasa terkejut apabila kedua-dua remaja lelaki itu diserbu polis di rumah mereka selain dipaksa menjalani ujian dadah.
"Ini mungkin menyebabkan trauma yang melampau kepada mereka dan keluarga mereka. Semua ini kerana video yang memaparkan mereka meluahkan kekecewaan pada kertas Sejarah SPM mereka."
Penahanan mereka dibuat ketika kritikan semakin meningkat terhadap pihak berkuasa yang mengekang kebebasan bersuara di platform media sosial termasuk TikTok, di mana beberapa individu ditangkap berhubung komen-komen yang menyerang kerajaan.
Melalui video yang tular baru-baru ini, dua pelajar lelaki itu dilihat memaki sambil mengejek soalan-soalan mengenai sejarah Singapura dalam kertas peperiksaan SPM itu, berkata ianya tidak relevan untuk rakyat Malaysia.
Mereka berdua bagaimanapun sudah membuat permohonan maaf atas kelakuan mereka.
Semalam, polis Hulu Selangor berkata pihaknya sudah menahan mereka berdasarkan laporan yang dibuat oleh guru, dan siasatan dilancarkan di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta di bawah Akta Kesalahan Kecil yang berkait "kelakuan menghina."
LFL berkata pihak sekolah dan ibu bapa yang perlu tangani perkara itu, dan bukannya menjadi kes polis.
“Walaupun ada komen yang tidak menyenangkan dikeluarkan, pasukan polis tidak wajar campur tangan.
"Mereka hanyalah remaja yang bersikap kebudak-budakan malah sudah meminta maaf atas video yang mereka buat, namun sebaliknya mereka dilayan seperti penjenayah."
LFL berkata penggunaan seksyen 233 dalam kes penahanan dua remaja lelaki itu bertentangan dengan janji reformasi Pakatan Harapan (PH).
"Anggota kerajaan sepatutnya sedar betapa luasnya seksyen 233 dalam menjenayahkan ucapan dalam talian, yang pernah terjadi ketika mereka berada dalam Pembangkang. Hakikat bahawa PH kini menggunakan senjata yang sebelum ini mereka bantah sekeras-kerasnya, menyerupai karya Animal Farm oleh George Orwell," katanya, merujuk kepada satira politik 1945.
LFL, pada masa sama, turut mengingatkan pihak berkuasa tentang jaminan kebebasan bersuara seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Walaupun kebebasan bersuara tidak terbelenggu, hak bukanlah sesuatu yang boleh dihadkan dengan mudah. Kritikan terhadap kerajaan tidak boleh dijenayahkan, dan lebih-lebih lagi perangai kebudak-budakan remaja itu.
“Adakah kita harus menahan setiap remaja untuk ditangkap dan didakwa kerana memaki hamun dalam talian? Adakah ini jalan yang kita akan lalui?"
PH berjanji untuk menegakkan kebebasan media dan kebebasan bersuara dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-15.
PH juga berikrar untuk memansuhkan akta yang dilihat sebagai menindas dengan menyemak dan memansuhkan peruntukan yang boleh digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara, termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.