Barisan Nasional (BN) hari ini menghantar surat tuntutan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertingginya Mohamed Azmin Ali berhubung pendakwaan ke atas pemimpin partinya baru-baru ini didalangi oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan, BN mengecam kenyataan Muhyiddin, yang dibuat pada 21 Februari berikutan penahanan Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu, menyifatkan mereka sebagai fitnah melampau dan melulu.
“Ia disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) itu sendiri,”tambahnya.
“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan bahawa kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam gabungan itu.
“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah yang biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri.”
Wan Saiful, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Februari, didakwa di mahkamah keesokan harinya atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek JanaWibawa.
Beliau kemudian meletak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu sementara menunggu keputusan kesnya.
Muhyiddin berkata pertuduhan terhadap Wan Saiful didalangi oleh Zahid bagi melemahkan PN menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan tahun ini.
Beliau berkata, Zahid sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang nampaknya cuba untuk menggambarkan Bersatu sebagai kumpulan yang dipanggil sebagai kluster mahkamah.
“Selepas ini, akan ada kluster mahkamah baharu,” tambah pengerusi PN itu.
"Ini adalah sesuatu yang sudah dicuba dari awal lagi. Jadi apa yang berlaku, saya rasa sudah dirancang lebih awal."
Menurut BN, Muhyiddin dan Azmin diminta untuk menarik balik kenyataan mereka, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka, dan membayar pampasan untuk apa yang disifatkannya sebagai fitnah.
Ia juga menafikan bahawa Zahid menyalahgunakan kedudukannya untuk mendakwa pemimpin dari PN.
“Fokus timbalan perdana menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.”