- Iklan -
Berita

PH anggap PN disokong pemuda gaji rendah, 'naik motor sana sini'

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motosikal melalui deretan bendera Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, 17 November 2022.
Penunggang motosikal melalui deretan bendera Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, 17 November 2022.

Seorang menteri Pakatan Harapan (PH) melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.

Pada masa sama, beliau yang juga ketua setiausaha PH berkata, dalam kalangan pengundi muda yang mempunyai pendapatan stabil dan pendidikan yang lebih tinggi akan cenderung menyokong gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

“Peratus pengundi muda dan medium pendapatan maknanya purata pendapatan, kita dapati bahawa semakin tinggi pelajaran semakin stabil pendapatan dia, hat (yang) lepas pilihan raya baru ni  depa (mereka) ni undi kita (PH).

“Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap, hat  naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (PN).

“Dia (data) tunjuk lagu (macam) tu,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu.

Sehingga kini, klip video berdurasi pendek menunjukkan ucapannya masih tersebar luas di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau yang disifatkan tidak adil dan terlalu menghina golongan muda.

Saifuddin antara pemimpin PKR yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya.

Beliau kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU15 lalu, kemudiannya dilantik jawatan senator untuk menjawat menteri dalam negeri dalam kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN).

Pada PRU15, PAS mendapat 49 kerusi Parlimen (6 daripada Bersatu) sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43% berbanding Umno 23% dan PKR 11%.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH turut mendapatkan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Perangkaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan dapatan tersebut.

“Data tadi itu kita buat semua sekali 222 kerusi Parlimen. Semua kita analisa.

“Kemudian kita tengok ada beberapa trend yang berlaku peringkat nasional tapi tak sama berlaku di Kedah.

“Ada beberapa trendlah yang kita kesan itu adalah makin tinggi pendapatan rakyat, makin padat satu-satu kawasan iaitu perbandaran, kebanyakannya corak mengundi itu mai kat kita (PH),” katanya.