- Iklan -
Berita

Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas tukar peguam, mahkamah diberitahu

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata pertukaran peguam bekas perdana menteri itu adalah satu strategi untuk memohon penangguhan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (kiri) bercakap dengan peguam Hisyam Teh Poh Teik (tengah) dan Zaid Ibrahim (kanan) di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos 2022. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak (kiri) bercakap dengan peguam Hisyam Teh Poh Teik (tengah) dan Zaid Ibrahim (kanan) di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos 2022. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini diberitahu rayuan Najib Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi selepas beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada  Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

“Mengapa Najib yang diwakili Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

Menyentuh kedudukan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

“Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan. 

Sementara itu, Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi  mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

“Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

Pendengaran bersambung 9 pagi esok.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.