Ahli Parlimen kerajaan mendedahkan menerima surat saman daripada peguam mewakili syarikat import telur dari India selepas membuat kenyataan mengenai kualiti telur tempatan dan import ke Dewan Rakyat, minggu lalu.
Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata kiriman surat peguam itu menghairankan kerana ucapan itu dibuat atas kapasitinya sebagai wakil rakyat yang berucap di Dewan Rakyat.
"Itu yang saya tak paham. Ini yang teruk. Nanti saya jawab di Facebook saya.
"Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat. Saya rasa terpanggil untuk bawa isu ini.
"Apa salah saya?" katanya ketika membahaskan teks Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Wee yang juga presiden MCA mempersoalkan bagaimana pengimport telur itu boleh menulis surat saman terhadapnya berhubung perkara tersebut.
Kemudian, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin mencelah bertanyakan pihak kerajaan berapakah pihak syarikat pengimport yang terlibat meskipun dalam tempoh sementara sehingga bekalan diatasi.
Radzi juga bertanya sekiranya terdapat bantuan kerajaan disalurkan dalam proses mengimport telur-telur tersebut dari India.
Menurut Wee lagi, ini menjadi satu tanda tanya kerana beliau sama sekali tidak pernah menamakan mana-mana pihak atau syarikat dalam ucapannya sebelum ini.
"Tak cakap pun sudah kena saman," katanya disusuli gelak tawa ahli Dewan Rakyat.
Terdahulu, Wee menjadi ahli Parlimen paling lantang membawa isu bekalan telur dengan meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menumpukan soal kekurangan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur ayam antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.