- Iklan -
Luar Sana

Dewan Rakyat kecoh ahli Parlimen PH dakwa Muhyiddin, menantu terlibat rasuah

Khoo akhirnya akur dan menarik semula tuduhannya selepas dikecam beberapa wakil rakyat PN.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen bertikam lidah semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, 28 Februari.
Ahli Parlimen bertikam lidah semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, 28 Februari.

Sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan kekecohan apabila ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa Muhyiddin Yassin terlibat dengan skandal rasuah dalam pemberian kontrak kepada menantunya. 

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menjadi pembahas pertama menyebut Pagoh (PN-Muhyiddin) sebagai individu yang dilaporkan dalam surat khabar sebagai pihak yang terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). 

Kenyataan tersebut kemudian ditentang oleh beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengatakan kenyataan Kota Melaka sebagai berniat jahat dan berprasangka buruk terhadap Pagoh. 

Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim meminta Khoo mengulangi semula kenyataan tersebut di dalam dan luar dewan supaya Pagoh boleh mengambil tindakan undang-undang menyifatkan ianya satu fitnah jahat terhadap pemimpin itu. 

Kekecohan bermula apabila Khoo enggan menarik balik dan ahli Parlimen PN meminta Timbalan Speaker Alice Lau membuat ketetapan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (5) & (6) yang memperuntukkan seseorang ahli tidak dibenarkan menyebutkan nama ahli yang lain dan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas sesiapa ahli lain.

"Kota Melaka sebut Pagoh. Sebut Pagoh. Tarik balik atau ulang kat luar kalau berani," kata Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).

Muhyiddin yang berada dalam persidangan ketika itu bangun mencelah mengatakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khoo sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap kredibilitinya. 

"Ini satu pertuduhan yang berat nak jatuhkan maruah saya dan keluarga saya hanya kerana Yang Berhormat baca surat khabar. 

"Ini sangkaan buruk. Fitnah. Saya nak bagitahu dengan jelas ini tak benar," katanya. 

Tambahnya, jika berani membuat kenyataan yang sama di luar Dewan Rakyat, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Khoo. 

Selepas itu, Lau memutuskan ketetapan supaya Khoo menarik balik kenyataan tersebut mengatakan beliau tidak boleh menyebut mana-mana pihak dalam ucapannya. 

"Kota Melaka boleh sebut mana-mana pihak tapi bukan Pagoh," kata Lau.

Selepas ketetapan dibuat, Khoo akur dan menarik semula kenyataan beliau yang dibuat terhadap Muhyiddin. 

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga pengerusi PN beberapa kali menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak NIISe kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.

Pada 15 Februari, Muhyiddin sudah pun mengulangi penafiannya ketika menjawab gesaan Khoo yang mencelah ketika bekas perdana menteri itu membahaskan usul titah diraja.

“Kalau dari segi undang-undang, ini adalah fitnah. Saya belum kata nak ambil tindakan undang-undang sebab saya nak beri peluang kepada perdana menteri baru.

“Satu sen, pun tak ada. Apa disebut itu adalah pakej rangsangan, bukan untuk kita dapat kontrak,” kata Muhyiddin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.