- Iklan -
Berita

KDN sedia tambah baik pengurusan lokap, tahanan

Ia antara langkah yang diambil polis bagi membendung isu kematian dalam tahanan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis membuat pemantauan di hadapan Kedutaan Bangladesh di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2022.
Anggota polis membuat pemantauan di hadapan Kedutaan Bangladesh di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2022.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan pindaan menyeluruh terhadap Kaedah-kaedah Lokap 1953 bagi memastikan pengurusan lokap, tahanan dan hak asasi tahanan ditambah baik selari keperluan serta kehendak semasa.

KDN dalam jawapan yang disiarkan di laman rasmi Parlimen memaklumkan langkah itu antara diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung isu kematian dalam tahanan.

“(Selain itu) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan di lokap serta pemeriksaan berkala oleh pihak berwajib untuk memastikan pematuhan arahan atau SOP pengurusan lokap dan tahanan diikuti,” menurut KDN.

Jawapan itu dikemukakan kepada soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu statistik kematian dalam tahanan bagi 2021 dan 2022 serta usaha kerajaan membendung insiden kematian dalam tahanan.

Menurut KDN, PDRM juga sedang mengkaji cadangan melekatkan notis peringatan ‘Hospital or Custody’ di setiap kereta polis sebagai peringatan untuk menghantar tahanan yang sakit atau cedera ke hospital bagi mendapatkan rawatan, dengan notis itu dipraktikkan oleh Polis United Kingdom.  

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2022, kementerian itu menyatakan jumlah kematian tahanan di bawah jagaan polis yang direkodkan adalah 24 kes dengan 11 daripadanya berlaku di lokap polis manakala 13 lagi semasa tahanan menerima rawatan di hospital atau klinik atau dalam perjalanan ke hospital atau klinik.

Jumlah kematian dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021 pula adalah 46 kes dan daripada jumlah itu sebanyak 14 adalah kematian dalam lokap, manakala 32 lagi semasa tahanan dalam perjalanan ke hospital atau klinik atau semasa menerima rawatan di hospital atau klinik. 

Sementara itu, mengenai statistik siasatan, tuduhan dan sabitan di bawah Akta Hasutan 1948, KDN memaklumkan sebanyak 367 kes dibuka sejak 2018 hingga tahun lepas iaitu sebanyak 66 kes pada 2018, 2019 (46 kes), 2020 (117 kes), 2021 (84 kes) dan 54 kes pada 2022. 

Selain itu, sebanyak lima kes telah dituduh di mahkamah dengan tiga kes dijatuhi hukum manakala dua kes lagi masih dibicara di mahkamah dalam tempoh yang sama.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai statistik siasatan, tuduhan dan sabitan di bawah Akta Hasutan 1948 bagi lima tahun lepas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.