- Iklan -
Berita

Kebanyakan projek JanaWibawa dianugerahkan ketika BN terajui negara, kata Azmin

Azmin mempersoalkan mengapa hanya pemimpin Bersatu menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan program pemerkasaan kontraktor Bumiputera itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin Ali mempersoalkan mengapa hanya pemimpin Bersatu menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa) sedangkan kebanyakan projek dianugerahkan ketika Barisan Nasional (BN) menerajui negara.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, program JanaWibawa ini dilaksanakan dan diteruskan ketika BN mengetuai kerajaan Persekutuan selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Banyak kelulusan projek diberikan ketika BN mengetuai kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini jelas menunjukkan terdapat cubaan di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan PH-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih dalam siri buruan politik mereka yang gopoh dan tidak cermat.”

Semalam, BN menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin dan Azmin berhubung pendakwaan ke atas pemimpin partinya baru-baru ini didalangi oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan, BN mengecam kenyataan Muhyiddin, yang dibuat pada 21 Februari berikutan penahanan Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu, menyifatkan mereka sebagai fitnah melampau dan melulu.

“Ia disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) itu sendiri,”tambahnya.

Azmin berkata, surat tuntutan tersebut menunjukkan bahawa BN kini menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pihak pembangkang dengan tindakan pendakwaan jenayah dan undang-undang.

“Sebenarnya, kenyataan pemimpin Bersatu dan PN berkenaan perkara ini adalah fakta yang telah pun dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat oleh wakil Pemuda Bersatu pada 15 Februari 2023 berkenaan konspirasi untuk melumpuhkan Bersatu dan PN melalui satu konspirasi fitnah dan tohmahan palsu,” katanya.

Beliau berkata, siri pendakwaan ini dibuat hanya bertujuan membunuh karekter pemimpin Bersatu dan PN menjelang enam PRN yang akan berlangsung tahun ini, tanpa mengambil kira sama ada pertuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh atau tidak.

“Perbicaraan kes-kes ini tidak mungkin berlaku sebelum enam pilihan raya negeri yang akan datang.

“Inilah konspirasi jahat kerajaan PH-BN untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin tidak popular di mata rakyat seperti mana yang ditunjukkan dalam kajian sentimen awam yang terbaharu.”