- Iklan -
Berita

Pakar ekonomi persoal mengapa tiada kenaikan kadar cukai golongan ‘maha kaya’

Penganalisis menyambut baik usaha kerajaan mengurangkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan sederhana (M40) tapi dalam pada masa yang sama perlu tingkatkan cukai kepada mereka berpendapatan lebih RM1 juta.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diapit oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dan Steven Sim ketika tiba di Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diapit oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dan Steven Sim ketika tiba di Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari.

Pakar ekonomi mempersoalkan mengapa tiada kenaikan cukai terhadap mereka yang berpendapatan lebih RM1 juta setahun, dalam usaha kerajaan mencukaikan golongan kaya-raya di Malaysia menerusi kadar cukai pendapatan individu yang baru diumumkan dalam Belanjawan 2023 minggu lalu.

Penganalisis Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli berkata usaha kerajaan mengurangkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan sederhana (M40) sememangnya disambut baik kerana ia mampu memberi duit tambahan untuk golongan ini berbelanja.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa kenaikan kadar cukai itu hanya terhad kepada golongan T20 yang meraih pendapatan sehingga RM1 juta dan tidak menyentuh golongan "maha kaya".

"Kadar cukai mereka tidak sama (dengan T20) dan ia tidak berubah," katanya dalam webinar Isu Semasa Ekonomi hari ini.

"T20 sebenarnya tidaklah kaya (seperti yang disangkakan ramai). Pendapatan mereka dalam lingkungan RM8,300 sebulan bagi setiap isi rumah manakala golongan T1 pula sekitar RM50,000 sebulan.

"Mereka (golongan maha kaya) mungkin dalam kelompok T0.1, tetapi tiada kenaikan cukai untuk golongan ini."

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan penurunan 2% kadar cukai pendapatan individu melibatkan banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000 manakala mereka yang tergolong dalam kategori pendapatan RM100,000 hingga RM1 juta pula akan menyaksikan kenaikan 0.5% sehingga 2%.

Ini bermakna, kadar cukai bagi mereka yang meraih lebih RM1 juta setahun kekal pada kadar 28% (RM1 juta hingga RM2 juta) dan 30% bagi melebihi RM2 juta.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2023, Zouhair turut menyifatkan cadangan kerajaan yang bakal mengenakan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat yang tidak tersenarai awam sebagai usaha "sekerat jalan".

Beliau berkata, ini kerana langkah yang sama wajar dilaksanakan terhadap syarikat yang disenarai awam di Bursa Malaysia memandangkan mereka adalah syarikat yang besar.

Katanya, walaupun terdapat komentar daripada segelintir ahli ekonomi yang mengatakan langkah itu akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, ini bagaimanapun dilihat sebagai satu mitos.

"Keuntungan yang diperoleh syarikat kebiasaannya akan digunakan untuk  penyelidikan dan pembangunan (R&D), menaikkan gaji pekerja atau membeli saham mereka sendiri.

"Kenapa? sebab harga saham yang tengah dipegang oleh individu termasuk CEO boleh meningkat. Apabila meningkat ini akan menjana keuntungan atau dividen yang mana tiada cukai akan dikenakan.

"Memang bagus apabila nak perkenalkan cukai keuntungan modal, tetapi ia juga harus merangkumi syarikat besar yang disenarai di pasaran awam," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.