- Iklan -
Berita

Selain PN, Syed Saddiq turut sokong akta sekat PM jadi menteri kewangan

Ahli Parlimen Muar turut kritik isu peruntukan tidak adil kepada pembangkang, gelarkan ia sesuatu yang toksik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muda Muar Syed Saddiq Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muda Muar Syed Saddiq Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari kerajaan hari ini senada dengan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan akta baru supaya mana-mana perdana menteri selepas ini disekat daripada memegang portfolio Kementerian Kewangan. 

Menurut Syed Saddiq, perkara itu juga bukan sesuatu yang baru dan pernah dicadangkan beberapa tahun sebelumnya. 

"Sebab itu pemisahan (institusi) ini ada kebaikannya juga untuk pastikan negara baik dan sistem semak imbang itu baik," katanya ketika membahasakan teks Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dikritik hebat berikutan langkahnya untuk melantik diri sendiri sebagai menteri kewangan.

Tindakan itu bertentangan dengan kenyataan beberapa pemimpin PKR sebelum ini seperti Rafizi Ramli yang membantah perdana menteri turut memegang jawatan menteri kewangan.

Menurut pemimpin parti Muda itu lagi, beliau bersetuju dengan kenyataan Indera Mahkota (PN-Bersatu) Saifuddin Abdullah bahawa gaya politik di Malaysia terlalu berorientasikan personaliti berbanding polisi dan institusi. 

Atas sebab itu, beliau menegaskan masa depan Malaysia yang ingin dibina adalah melangkaui personaliti dan parti-parti politik. 

Katanya, ini bagi memastikan, mana-mana pihak yang berada dalam kerajaan atau pembangkang dapat melakukan tanggungjawab dengan adil seterusnya memanfaatkan kebajikan rakyat seluruhnya. 

Beliau turut menyentuh mengenai saluran peruntukan kepada kawasan dan negeri pembangkang mengatakan ianya sesuatu yang "toksik" dalam arena politik tempatan. 

Katanya, sekiranya beberapa reformasi institusi seperti pengagihan peruntukan bagi pihak pembangkang yang adil dapat dilakukan, suasana tegang dalam persidangan Dewan Rakyat dapat dikurangkan. 

Bukan itu sahaja, katanya, elemen toksik dalam politik tempatan juga dapat dikurangkan. 

"Dan dalam bab itu, yang akhirnya menang bukan parti A, parti B atau parti C tapi rakyat. 

"Itulah gunanya reform," katanya.