- Iklan -
Berita

100 hari pentadbiran, sokongan Melayu terhadap Anwar terus jadi pertikaian

Kerjasama PH dan BN tidak digemari Melayu yang menolak Umno, selain amalan nepotisme dan lantikan politik dalam agensi awam, menurut penganalisis.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Persoalan masih berlegar berhubung sokongan masyarakat Melayu kepada pentadbiran yang dijenamakan sebagai Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.
Persoalan masih berlegar berhubung sokongan masyarakat Melayu kepada pentadbiran yang dijenamakan sebagai Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

Selepas 100 hari pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10, persoalan masih berlegar berhubung sokongan masyarakat Melayu kepada pimpinan ahli Parlimen Tambun itu. 

Terbaru, dalam satu kajian yang dilakukan oleh satu firma kajian, 02 dengan kerjasama beberapa organisasi media mendapati, 71% responden Melayu menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan baru, dalam memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Isu sokongan Melayu baru-baru turut diperkatakan oleh Anwar apabila beliau menolak dapatan kajian penganalisis Bridget Welsh yang menyatakan sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) hanya pada kadar 11%. 

Menurut Anwar, kaji selidik oleh PKR sendiri mendapati sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap 31%.

Mengulas dapatan kajian oleh O2, penganalisis politik serta pakar hubungan etnik, Mansor Mohd Noor berkata, kerajaan harus mencari sebab-musababnya dalam proses pembentukan gabungan dan polisi yang dilaksanakan, untuk memahami mengapa masyarakat Melayu kurang berpuas hati.

"Slogan yang dibawa sejak 1998 ialah transparency, akauntabiliti dan integriti. 

“Namun pembentukan kerajaan campuran tidak digemari Melayu yang menolak Umno pada PRU15. Kehendak mengamalkan nepotisme dan lantikan politik dalam agensi awam tidak diterima dengan baik," katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau merujuk kepada tindakan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN), selain kontroversi lantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat ayahnya sendiri, sebelum ditukarkan ke Kementerian Kewangan, juga diterajui ayahynya.

Menurut Mansor naratif multikulturalisme yang dimainkan oleh PH dalam aspek pembinaan negara bangsa tidak membantu mendapatkan sokongan Melayu. 

PH sebelum ini cuba mengaitkan sokongan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) dengan unsur ekstremisme dan perkauman.

"Pada orang Melayu, slogan Malaysia Madani ialah konsep yang dicairkan, terpisah dari akar budaya dan warisan sosio-politikal kaum asal. 

“Malaysia Madani sebagai satu konsep gagal menggerakkan nilai-nilai yang pelbagai dalam memperkasakan ikatan nasionalistik bangsa Malaysia," katanya.

Seramai 35,077 responden terlibat dalam kajian itu yang turut bekerjasama dengan Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew, dan Malaysia Nanban.

76% kaum Cina dan India pula merasakan negara sedang menuju ke arah yang betul, bersekali dengan 59% Bumiputera di Sabah, 60 peratus Bumiputera di Sarawak dan 58% kaum lain. 

Manakala 60% Melayu di semenanjung merasakan sebaliknya.

BukuBelanjawan-MNow-230223-2

Anwar juga sebelum ini dilihat berusaha menjadi “lebih Melayu daripada Perikatan Nasional” dengan optik-optik tersendiri bertujuan menyasarkan sokongan kaum itu kepadanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kajian oleh O2 tidak menepati metodologi kajian yang ketat.

"Kajian berkenaan menggunakan persampelan yang tidak boleh digeneralisasikan kepada suara rakyat Malaysia sebenar disebabkan tidak menepati persampelan demografi penduduk yang dikaji.

“Dengan itu, dapatan yang disebabkan saya khuatir ianya memberi gambaran tidak sepenuhnya dan mungkin hanya mewakili suara pembaca, penonton dan pelayar lima media berkenaan yang mana soalan kajian dikemukakan di situ," katanya kepada MalaysiaNow.

Kajian tahap kepuasan hati orang Melayu terhadap kerajaan atau perdana menteri, katanya harus mengikuti taburan lokaliti dan negeri. 

Katanya PH dan BN masih mempunyai pengaruh di kawasan tengah semenanjung dan mengunjur ke selatan tanah air. 

"Dapatan kajian secara logiknya akan seimbang atau bercampur antara kedua blok sokongan politik berkenaan jika digabungkan trend sokongan Melayu. 

“Sekiranya negeri BN dan PH pun tidak menyokong agenda kerajaan, pada pandangan saya ia amatlah membimbangkan."

Dalam pada itu, Mansor yang juga bekas felo utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kerajaan wajar menumpukan pembangunan yang inklusif untuk kebajikan rakyat secara keseluruhan, mengambil kira ramalan ekonomi tahun ini yang tidak menggalakkan.

"Kerajaan akan diterima dan mendapat keabsahan daripada rakyat jika ia hentikan 'permainan' bahawa mereka sudah tahu apa yang rakyat mahukan. 

“Ia perlu terlibat dengan rakyat melangkaui kepentingan etnik dan parti politik."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.