- Iklan -
Berita

Bagaimana kerajaan tamatkan projek belum bermula? soal Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim berkata, Anwar disaran untuk menjelaskan perkara ini di Dewan Rakyat agar tidak menimbulkan kekeliruan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar: Bernama

Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan dakwaan kononnya kerajaan menjimatkan sebanyak RM2 bilion selepas "menamatkan" projek tebatan banjir sedangkan projek itu belum mula dilaksanakan lagi.

Dalam sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini merujuk kepada pengumuman penamatan enam projek tebatan banjir oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.

Dalam pembentangan itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata negara mampu jimat RM2 bilion daripada RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini di mana pelaksanaan perolehan mesti dibuat secara tender.

Katanya, enam projek tebatan banjir itu akan ditender semula selewatnya pada Jun depan melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi; pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang; serta pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3 di Kelantan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga bekas menteri alam sekitar dan air meluahkan rasa hairan apabila kerajaan ingin menamatkan projek-projek tersebut sedangkan ia belum dimulakan.

"Dalam pembentangan, Tambun (Anwar) sebut RTB Sungai Golok Fasa 3. Fasa 2 pun belum bermula. Fasa 3, kontraktor pun belum dilantik. Macam mana boleh jimat?" soalnya.

"Yang kedua, projek Dwifungsi Sungai Rasau. Kontraktor belum dilantik pun lagi. Baru peringkat rundingan. Itu pun masih belum dilaksanakan, masih di bawah kementerian kewangan. Apatah lagi RT Segamat yang diumumkan."

Tambah beliau, Anwar disaran untuk menjelaskan perkara ini di Dewan Rakyat agar tidak menimbulkan kekeliruan.

"Ini kerana PM dalam sesi lalu melihat peruntukan RM1 bilion yang diberi, sebab sebahagian besar daripada projek yang tertunda ini daripada Rancangan Malaysia Kesembilan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga menyarankan supaya setiap perancangan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu tidak diubah setiap kali berlaku perubahan kerajaan kerana situasi ini akan merugikan negara.

"Kalau kita tunda projek tersebut, (kerajaan) bukan (dapat) penjimatan tetapi akan berdepan kerugian sebab setiap kali penangguhan projek ini akan melibatkan kos yang meningkat dan mendatangkan kesan kepada setiap kali berlakunya musim bencana.

"Negara kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion setiap kali berlaku banjir," tambahnya.

Pagi ini, perhatian tertumpu di Johor apabila negeri itu kembali dilanda banjir selepas 1,591 mangsa dari empat daerah telah dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), enam PPS masing-masing di daerah Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain tiga PPS di Kota Tinggi, dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam tadi sehingga 3.20 pagi tadi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.