- Iklan -
Berita

Fahmi Fadzil curiga dengan dapatan kajian 100 hari pertama kerajaan

Kementerian Komunikasi dan Digital akan bertemu dengan agensi media terlibat untuk mendapatkan penjelasan mengenai kajian itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Dapatan Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan yang dilakukan sebuah firma penyelidikan dengan beberapa agensi media tempatan dilihat mencurigakan dan wujud kesangsian, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterbitkan menerusi kajian itu, ia tidak mencerminkan pendapat keseluruhan rakyat di negara ini kerana sampel responden terlibat tidak seimbang, malah metodologi kajian juga meragukan.

Katanya pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bertemu dengan agensi media terlibat untuk mendapatkan penjelasan mengenai kajian itu.

“Maklum balas yang kami terima daripada pelbagai pakar akademik, rata-rata mempertikaikan metodologi kajian…jika itu pendirian mereka (ahli akademik), maka kita kena lihat motif mereka (kajian).

“Kajian tentang 100 hari kerajaan mentadbir, tetapi kita belum capai 100 hari. Saya akan bertemu dengan pihak akhbar tersebut dan dapatkan penjelasan mereka, adakah mereka cuba buat promosi (jenama) atau mahu memperdaya rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih di Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, lima media tempatan menyiarkan dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan yang dijalankan dari 6 hingga 16 Februari lepas dengan kerjasama sebuah firma penyelidikan.

Kajian itu antaranya mendapati hanya 27 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menangani isu hubungan antara kaum dan pertumbuhan ekonomi negara, manakala 26 peratus responden berpendapat kerajaan menangani isu bekalan makanan dengan baik.

Sementara itu, mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim berhubung kerajaan menyekat pembangkang untuk mengkritik kerajaan, Fahmi berkata kerajaan tidak menghalang sesiapa untuk mengkritik pihak pentadbiran, namun amalan memfitnah tidak boleh diterima.

“Boleh saja untuk kritik tetapi jangan fitnah…fitnah itu merosakkan akhlak. Sebagai seorang ahli Parlimen dari parti yang memperjuangkan Islam, beliau (Awang) patut lebih faham musibah fitnah.

“Kepada YB (Yang Berhormat) Pendang (Awang), saya mohon beliau muhasabah diri dan sekiranya ada isu…jawab kenyataan di mahkamah,” katanya.

Rabu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Awang berhubung kenyataan yang menuduh perdana menteri berdendam lebih teruk daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan terpilih.

Dalam pada itu, Fahmi berkata KKD akan bertemu dengan TikTok Malaysia dan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk membincangkan mengenai aspek keselamatan yang meragukan seperti yang didakwa oleh pembuat dasar Kesatuan Eropah.

Beliau berkata jika aspek keselamatan aplikasi itu mencurigakan dan melibatkan rahsia rasmi kerajaan, ia perlu dipertimbangkan segera oleh KKD.

Sabtu lepas, media antarabangsa melaporkan dua institusi pembuat dasar terbesar Kesatuan Eropah mengharamkan TikTok daripada telefon kakitangan mereka atas alasan keselamatan siber.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.