- Iklan -
Berita

Isu bantuan bencana, perjanjian Trans-Pasifik, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Turut bakal menjadi tumpuan adalah persoalan mengenai statistik individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang wanita duduk di hadapan pintu rumahnya ketika banjir.
Gambar fail seorang wanita duduk di hadapan pintu rumahnya ketika banjir.

Isu berkaitan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), bantuan kepada mangsa bencana serta kesalahan melibatkan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Che Alias Hamid (PN-Kemaman) bertanyakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung isu CPTPP yang memberi impak kepada sektor pertanian negara pada sesi soal jawab.

Anyi Ngau (GPS-Baram) pula meminta perdana menteri menyatakan jenis dan nilai bantuan yang disalurkan kepada mangsa bencana alam seperti banjir dan kebakaran tempat kediaman, ketika ini.

Turut menjadi tumpuan adalah persoalan mengenai statistik individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia yang melibatkan hantaran dalam talian yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya sejak 2009 sehingga kini.

Soalan berkenaan dibangkitkan Syahredzan Johan (PH-Bangi) kepada Menteri Komunikasi dan Digital.

Selain itu, isu harga daging seperti ayam dan khinzir yang terus naik dibangkitkan Madius Tangau (PH-Tuaran) yang mahu tahu langkah diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengatasi masalah berkenaan. 

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar bagi hari ketiga.