- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa pandang serius isu penangguhan penerbangan

Teliti juga harga tiket pada musim cuti sekolah yang terlampau mahal berbanding penerbangan ke negara jiran, kata ahli Parlimen Sri Aman.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Penumpang menunggu penerbangan mereka dari Kuching ke Kuala Lumpur, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Penumpang menunggu penerbangan mereka dari Kuching ke Kuala Lumpur, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Ahli Parlimen Sri Aman Doris Sophia Brodi menggesa supaya Kementerian Pengangkutan dan syarikat penerbangan menangani segera isu penangguhan penerbangan yang kerap berlaku sehingga hari ini.

Wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, beliau sendiri pernah mengalami masalah itu apabila terpaksa menunggu hampir lima jam untuk menaiki penerbangannya.

Katanya, ini menyebabkan dia tiba ke rumahnya lewat pada jam 5 pagi dan menyifatkan situasi ini sebagai "tidak masuk akal".

"Sekarang isitilah (penangguhan) tidak lagi digunakan oleh sesetengah syarikat tetapi digantikan dengan istilah 'retime'," katanya ketika berucap pada sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

"Tak kira apa istilah yang digunakan, yang penting penyakit penangguhan ini harus diberi perhatian dan ditangani secepat mungkin."

Mengulas lanjut, Doris menasihatkan supaya kerajaan dan syarikat penerbangan turut mengambil berat serta sentiasa proaktif dan sensitif dengan setiap rungutan rakyat.

"Mohon pihak kementerian maklumkan dewan ini apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi tangani masalah ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Doris juga meminta supaya kerajaan meneliti semula isu tambang tiket dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak kerana terlalu mahal dan mampu mencecah sehingga RM1,000 sehala terutama pada musim cuti persekolahan.

Katanya, isu ini dibimbangni akan membantutkan inisiatif kerajaan yang mensasarkan untuk menerima 23.5 juta pelancong dengan unjuran pendapatan RM76.8 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2025.

"Ini amat tidak berbaloi kerana tambang ini lagi mahal dari pergi ke Singapura atau Thailand dan Indonesia.

"Kerajaan dicadang untuk ambil berat perkara ini dan tubuhkan mekanisme untuk mengawal harga tiket. 

“Cadangkan tambang lebih murah atau tambang rahmah," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.