- Iklan -
Berita

Lebih 1,000 orang ikut Dr Mahathir sertai Putra, kata timbalan presiden

Bekas PM diberi kepercayaan penuh sebagai penasihat parti, kata Mohd Khalid.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad berjabat tangan dengan Timbalan Presiden Putra Mohd Khalid Yunus sebagai tanda rasmi menyertai parti pimpinan Ibrahim Ali (kanan) itu. Gambar: Facebook
Dr Mahathir Mohamad berjabat tangan dengan Timbalan Presiden Putra Mohd Khalid Yunus sebagai tanda rasmi menyertai parti pimpinan Ibrahim Ali (kanan) itu. Gambar: Facebook

Penyertaan Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) turut membawa bersama 1,112 ahli baru setakat petang ini, kata timbalan presidennya Mohd Khalid Yunus.

Sebelum ini, Mahathir bersama 13 lagi anggota Pejuang menyertai Putra, kira-kira tiga bulan selepas parti itu kalah besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu. 

Terdahulu, Mahathir pernah memberi bayangan untuk menyertai Putra selain berhasrat menjadi penasihat parti tersebut.

Beliau dilaporkan berkata jemputan untuk menyertai Putra sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya yakni membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

Pada satu sidang media di Putrajaya hari ini, Mahathir turut diserahkan kad keahlian Putra bernombor B-0000001 sebagai ahli dan juga penasihat parti. 

Khalid berkata sebaik sahaja watikah pelantikan diterima, Mahathir bebas untuk mengkritik, membuat kenyataan dan menasihati parti itu. 

"Masanya akan sampai juga, sebilangan besar orang Melayu akan bersama-sama dengan kita di dalam parti Putra ini.

"Saya ingin nyatakan bahawa kami di dalam Putra mempunyai keyakinan yang penuh terhadap kemampuan dan keupayaan Mahathir untuk memimpin kami." 

Pada perkembangan sama, beliau turut mengumumkan tarikh perhimpunan agung Putra yang bakal diadakan pada 6 April ini. 

Menurutnya, biro politik Putra juga sudah bersedia untuk mengadakan pemilihan barisan pimpinan parti ketika persidangan tahunan itu pada 8 April. 

"Maknanya, habis sahaja 6 April, kita bersidang setiap bahagian, dua hari lepas tu kita boleh buat (pemilihan)."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.