- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno fail petisyen batalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Putrajaya

Pemimpin Umno itu mendakwa pemberian sogokan wang RM150 yang dilakukan oleh responden dan ejennya menyebabkan kemenangan kepada Radzi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Radzi bersalaman dengan pengundi semasa berkempen di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Presint 2, Putrajaya.
Radzi bersalaman dengan pengundi semasa berkempen di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Presint 2, Putrajaya.

Seorang pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu, yang dimenangi Radzi Jidin, selepas mendakwa ahli Parlimen tersebut memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan untuk mengundinya.

Ahmad Faisal Abdul Karim, 49, yang juga naib ketua Umno Putrajaya selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Januari lepas menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Radzi, 45, selaku responden.

Menerusi petisyen itu, Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Radzi, yang juga naib presiden Bersatu, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15 yang diadakan pada 19 November lepas.

Faisal mendakwa pemberian sogokan wang RM150 itu, yang dilakukan oleh responden dan ejennya, menyebabkan kemenangan kepada Radzi dengan mengalahkan Tengku Adnan Tengku Mansor, calon daripada Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sejak 2004.

Menurut pempetisyen, perbuatan sogokan oleh ejen responden mendorong pengundi di kawasan itu untuk mengundi responden semasa PRU15 dan bukan mengundi calon lain.

Katanya, tindakan ejen-ejen responden memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan ia suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pempetisyen mendakwa pemberian wang sogokan itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp bertarikh 21 November dan 21 Disember tahun lepas serta 4 Januari tahun ini, iaitu pengundi yang mengundi responden pada PRU15 akan memperoleh RM150.

Ketika prosiding di hadapan hakim Faizah Jamaludin hari ini, peguam Takiyuddin Hassan yang mewakili Radzi membantah petisyen berkenaan atas alasan pempetisyen gagal membuktikan butiran peribadi pengguna aplikasi WhatsApp.

"Tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat serta pempetisyen gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh ejen responden atas arahan responden," kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Mohd Hafarizam Harun berkata bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Februari lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

“Kami berhujah bahawa satu-satunya cara untuk hakim Pilihan Raya menentukan sama ada individu itu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya ia adalah isu yang boleh dibicarakan yang patut diselesaikan dengan cara pemeriksaan saksi ketika perbicaraan petisyen,” katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Faizah menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal.

Pada PRU15, Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Tengku Adnan yang mendapat 13,692 undi.