- Iklan -
Berita

Shahidan ingatkan Anwar jangan seksa negeri pembangkang

Ahli Parlimen Arau itu juga menasihatkan perdana menteri dan kerajaan supaya tidak berkira dalam membantu semua negeri kerana itu adalah tugas hakiki mereka sebagai pemimpin negara.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama

Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) mengingatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan supaya jangan ada sikap berkira apabila membantu negeri yang ditadbir parti pembangkang.

Ketika berucap pada sesi perbahasan Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis seolah-olah sedang diseksa.

Katanya, hukuman itu datang dalam bentuk pemberian imbuhan yang diberi melalui individu yang diperuntukkan parti politik.

"Sekarang bila sudah jadi PM, adakah beliau (Anwar) PM PH (Pakatan Harapan)?," soalnya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

"Dia PM rakyat Malaysia, menteri-menteri rakyat Malaysia.

"Mana boleh sebut akan beri bantuan tanpa mengira kaum, bangsa atau parti. Memang hangpa dibayar gaji untuk menolong rakyat."

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, sekiranya kerajaan ingin bersifat adil maka peruntukan pembangunan yang diberikan kepada empat negeri itu seharusnya sama seperti diterima oleh Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Shahidan turut menyambut baik pengumuman PM yang ingin memberi elaun RM700 kepada pegawai kerajaan, namun beliau mencadangkan supaya jumlah itu dinaikkan kepada RM1,000.

"Kalau kami memerintah, akan beri RM2,000," katanya secara berseloroh sebelum mencadangkan supaya elaun guru Kafa juga patut dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,500.

Cadangan itu kemudian dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Gombak, Amirudin Shari yang bertanya mengapa Shahidan ketika berada bersama kerajaan tidak melaksanakan cadangan itu sebelum ini.

Shahidan kemudian menjawab sambil menasihatkan Kerajaan Madani supaya mengubah mentaliti dan tidak mengamalkan politik dendam.

"Ini Madani Yang Berhormat. Mestilah ada pemikiran baharu.

"Semasa tahun sudah, kami beri (peruntukan) kepada semua termasuk DAP. Tahun ini satu sen pun kami tak merasa.

"Duit elaun yang kami dapat, kami beri kepada rakyat. Apakah sebab kami diseksa?" soal beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.