Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Jumaat tidak menyentuh mengenai kebajikan satu golongan penting dalam negara, iaitu peneroka Felda.
Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin berkata, ia berbeza dengan pelbagai usaha oleh perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin yang turut menghapuskan hutang peneroka berjumlah RM8 bilion.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2021 yang dibentang ketika pentadbiran ahli Parlimen Pagoh itu memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan program pembangunan Felda.
Dalam ucapannya, Radzi yang juga bekas menteri pendidikan turut menyentuh mengenai pelaburan Felda dalam syarikat Indonesia, Eagle High Plantation (EHP) yang menggunakan pinjaman Kementerian Kewangan sebanyak RM2.3 bilion.
"Harga saham EHP sewaktu dibeli oleh anak syarikat milik penuh Felda, FICP, pada bulan Oktober 2016 adalah IDR565 sesaham. Pada 21 Februari 2023 harganya cuma tinggal IDR66 sahaja.
"Secara keseluruhan, nilai pelaburan RM2.3 bilion itu cuma tinggal sekitar 10% sahaja," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beberapa persoalan timbul berhubung pembelian itu.
Radzi turut meminta kerajaan menjelaskan berapa hutang yang dibayar dan masih belum dibayar Felda kepada Govco untuk pembelian saham EHP.
"Apakah kesan bayaran hutang ini kepada kewangan Felda? Apakah manfaat yang diraih Felda setakat ini hasil daripada pembelian saham EHP?" katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion yang diperkenalkan semasa kepimpinan Muhyiddin pada 2021.
Dalam pada itu, Radzi meminta kerajaan menjelaskan komponen subsidi yang akan dipotong pada tahun ini, ekoran jumlah subsidi yang berkurangan daripada RM80 bilion tahun lalu kepada RM64 bilion tahun ini.