- Iklan -
Berita

Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

Ahmad Marzuk berkata demikian merujuk kepada keengganan kerajaan Madani yang tidak mahu beri royalti minyak 5% kepada Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 2019. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 2019. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingati jasa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan memberi pengampunan diraja kepada beliau, ketika kerajaan bertegas tidak akan memberikan royalti minyak 5% kepada Kelantan dan Terengganu.

Marzuk berkata Sultan Muhammad ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membebaskan Anwar yang ketika itu dipenjarakan atas kesalahan liwat.

Justeru, Anwar digesa menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. 

"Kawasan joint-development area, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

"Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

"Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja, sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018. 

Menurut Marzuk, Sultan Muhammad juga pernah menitahkan agar hasil bumi itu dapat didaratkan di Kelantan yang telah menyiapkan zon industri petroleum di Pantai Bachok sejak 1990. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum kerana negeri tersebut hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika, menurut Akta Laut Wilayah 2012. 

Sementara itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata deposit gas dan minyak di negara ini melangkaui jarak tersebut. 

Tambahnya, 50% dana pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2023 diberikan kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah selain Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Perikatan Nasional PN pernah menjanjikan pembayaran penuh royalti minyak kepada Kelantan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.