- Iklan -
Berita

Isu lantikan naib canselor universiti, MSAP dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

Turut dibangkitkan, isu bahaya kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas yang lebih besar berbanding kes Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari.  Gambar: Bernama
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari. Gambar: Bernama

Persoalan sama ada kerajaan akan meneruskan amalan lantikan naib canselor universiti oleh menteri antara yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, pertanyaan itu akan dikemukakan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) kepada menteri pendidikan tinggi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau juga ingin tahu sama ada lantikan jawatan berkenaan diberikan secara autonomi kepada warga universiti sendiri untuk mengundi naib canselor mereka, susulan keputusan kerajaan tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Turut dibangkitkan adalah pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta menteri komunikasi dan digital menjelaskan mengenai Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) baharu yang mula berkuat kuasa semalam dan kesannya terhadap sektor telekomunikasi serta pengguna dari segi mutu perkhidmatan.

Pada sesi sama, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pula bertanyakan kepada menteri kesihatan berhubung prestasi dalam melancarkan aktiviti dan program mencegah kanser serviks selaras dengan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030.

Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) meminta menteri pengangkutan menyatakan punca dan penyelesaian yang akan diambil berkenaan isu bahaya kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas, yang lebih besar berbanding kes Covid-19.

Selain itu, menteri pembangunan kerajaan tempatan juga dijadualkan menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu langkah kementerian itu untuk membendung masalah kenaikan harga rumah yang berterusan.

Selesai sesi soal jawab itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar bagi hari keempat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.