- Iklan -
Berita

PN putus penyertaan Pejuang, Berjasa dalam masa terdekat, kata Takiyuddin

Katanya, Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan dua parti itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN nanti yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas parti memasang bendera Perikatan Nasional sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.
Petugas parti memasang bendera Perikatan Nasional sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai gabungan mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi PN, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung PAS, berkata Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu nanti yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

"Sebenarnya ada dua permohonan ingin sertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa, namun tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan keputusan mana-mana parti yang memohon menyertai PN," katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir menghantar surat permohonan untuk menyertai PN kepada Muhyiddin semalam  dan turut diberikan kepada Presiden PAS, Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Menurutnya, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan disepakati Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang kelmarin selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada.