Tidak sampai seminggu dilaksanakan, banyak masalah dihadapi seperti pembungkusan yang teruk, mudah tersangkut dalam mesin, isu sistem pembayaran, antara lain.
Kelihatan wanita dan lelaki kemas berpakaian baju kurung dan kemeja pejabat berbaris panjang di depan mesin layan diri yang ditempatkan di sebuah stesen LRT untuk membeli nasi lemak bajet berharga RM2.
Jualan itu merupakan usaha terbaru di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini memberitahu, proses jualan itu bermula dengan penanam cili memberikan sedikit hasil tuaiannya kepada pengusaha B40 yang lain untuk menghasilkan sambal nasi lemak.
Nasi lemak pula kemudiannya akan dijual serendah RM2 kepada rakyat melalui mesin layan diri.
Tinjauan MalaysiaNow ke stesen LRT Cempaka, Kuala Lumpur melihat banyak pihak boleh membeli nasi lemak tersebut termasuk pekerja asing, pekerja buruh dan penduduk berdekatan.
Bagaimanapun, pelaksanaan program itu kini dipersoal ekoran beberapa isu dan masalah yang timbul kurang tempoh seminggu selepas diperkenalkan.
Pembungkusan nasi lemak yang asas dan hanya diikat getah menyebabkan ianya tersangkut dan tidak bokeh melepasi laluan untuk sampai kepada pembeli.
Beberapa kali pembeli berdepan situasi tersebut dan terpaksa memikirkan cara untuk mengeluarkannya dan pergi ke lubang yang sepatutnya diterima pembeli.
Ada juga pembeli yang berjaya mendapatkan nasi lemak tetapi apabila diambil nasinya sudah bertabur.
Sistem pembayarannya juga lemah.
Mesin layan diri itu boleh menerima kedua-dua bentuk pembayaran tanpa tunai dan bayaran tunai.
Tetapi selepas beberapa jam di situ, mesin itu mengalami masalah teknikal dan tidak boleh memasukkan wang ke dalamya.
"Tak semua orang datang sini boleh guna kad (bank) nak bayar.
"Saya nampak pekerja asing jalan kaki lepas tu beratur nak beli tapi duit tak boleh masuk. Kalau berterusan macam ni, leceh," kata Faqih, kerani bank yang membeli nasi lemak di stesen tersebut.
Kira-kira 7km daripada stesen itu, seorang peniaga nasi lemak pagi menyifatkan idea itu sebagai membazir dan merendahkan pengusaha nasi lemak lain sepertinya.
Kak Julia, yang menjalankan perniagaan sarapan pagi sejak 17 tahun lalu di kawasan Bandar Sri Permaisuri berkata idea itu tidak akan bertahan lama selain ianya hanya membantu satu pihak sahaja.
Katanya, penjual sebenarnya juga boleh menyediakan nasi dengar harga serendah RM2 jika kerajaan menyalurkan tuaian cili secara terus kepada penjual nasi lemak yang memerlukan khususnya peniaga miskin bandar.
Ini kerana kos pembuatan sambal paling tinggi dalam penghasilan nasi lemak susulan harga cili, gula dan minyak yang mahal.
"Lebih baik menteri datang jumpa kita yang jual nasi lemak tepi-tepi jalan dan bagi kita cili-cili itu.
"Kita boleh jimat banyak kos dan sediakan lauk pauk yang kualiti untuk pembeli, bukan sahaja telur semata," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di gerainya.
Dengan cara itu, katanya, kerajaan bukan sahaja boleh menjimatkan wang daripada membayar penyelenggaraan mesin layan diri bahkan juga menyebarluaskan idea itu ke seluruh negara.
"Petani bukan ada di KL atau Selangor sahaja. Petani kat Kedah bagi cili kat peniaga di tempat dia. Petani kita (jaga) di kawasan kita.
"Tak perlulah guna mesin itu lagi. Tak tahu saya nak cakap tapi memang tak membantu."
Dalam pada itu, Asfanizam, seorang ejen pengedar mesin layan diri di kawasan Lembah Klang berkata bukan sedikit tetapi banyak kekurangan pelaksanaan idea tersebut yang perlu ditambah baik.
Pertama katanya, penggunaan plastik pembungkusan makanan yang murah dan cuma diikat dengan getah tidak efisien untuk pembeli.
Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan apabila banyak pembeli berdepan masalah ketika membeli.
Bercakap kepada MalaysiaNow, dia memberitahu penjualan nasi lemak bukan sesuatu yang baru dah pernah dibuat sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Asfanizam menjelaskan pelaksanaannya lebih baik seperti menggunakan pembungkusan kedap udara dan ketat bagi memastikan kualiti makanan terjaga serta lebih lama.
Selain itu, nasi lemak diletakkan di dalam mesin layan diri yang bersuhu lebih sejuk bagi mengelakkan makanan basi kerana disediakan menggunakan elemen santan.
"Sebab tu kalau tengok kebanyakan mesin layan diri atau mana-mana peti jual makanan pasti akan ada ketuhar gelombang untuk panaskan makanan.
"Tujuannya bukan sahaja untuk panaskan lauk tapi nak pastikan makanan yang dibeli masih dijamin kualiti dari aspek rasa dan keselamatan makanan."
Dengan itu, katanya pelaksanaan idea menjual nasi lemak boleh diteruskan dan mencapai tujuan asalnya jika penambahbaikan terserah disegerakan.
"Jika tidak, pembeli akan berdepan situasi yang sama setiap hari.
"Bayar RM2 tapi makanan sangkut dalam mesin. Kena keluarkan lagi RM3 beli nasi lemak di tepi jalan.
"Bukankah membazir? Lebih baik awal-awal lagi gunakan RM5 beli nasi berlauk murah," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.