Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru supaya sistem informasi teknologi (IT) kesihatan awam dipertingkatkan, susulan pendedahan MalaysiaNow baru-baru ini mengenai masalah disebabkan perisian komputer yang sudah lebih dua dekad yang masih digunakan di hospital dan klinik kerajaan.
MMA, yang menggabungkan lebih 10,000 doktor pelbagai lapisan dan kepakaran, berkata Malaysia tidak boleh ketinggalan zaman dan perlu dilengkapi dengan perisian terkini seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat.
"Kita perlu guna sistem terbaru terutama jika ada rancangan untuk melaksanakan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan mengadaptasi lebih banyak kelebihan digital dalam penjagaan kesihatan," kata presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, kepada MalaysiaNow.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan mengenai ekologi sistem komputer kerajaan yang lapuk, di mana masih ada komputer di hospital kerajaan menggunakan sistem operasi Windows 2000.
Antara masalah dihadapi termasuk kelewatan ataupun “lagging”, selain lesen perisian yang sudah tamat.
Data pesakit juga sukar diakses kerana server yang lembab sehingga komputer mengalami masalah "lagging", menambahkan beban kerja doktor di hospital awam.
Rekod kesihatan pesakit juga tidak boleh diakses oleh doktor kerana ia tidak diseragamkan dalam satu sistem.
Hospital juga terpaksa mengutamakan jabatan yang lebih sibuk dalam menyediakan komputer dengan perisian terkini.
Ia berbeza dengan inisiatif kerajaan pada penghujung 90-an, ketika Hospital Selayang mencatat sejarah dengan menjadi hospital pertama di dunia menggunakan sistem IT sepenuhnya.
Dr Muruga Raj berkata, digitalisasi sektor awam akan menjadi kunci ke arah membuat keputusan berdasarkan data.
"Perancangan objektif yang lebih baik dapat dicapai dengan merekodkan setiap 'touch point' perjalanan perubatan pesakit," katanya.
Dalam pada itu, katanya perbelanjaan untuk menaik taraf infrastruktur pendigitalan sektor kesihatan awam tidak wajar diambil daripada bajet kesihatan, namun harus melalui bajet berasingan sebagai sebahagian daripada agenda digitalisasi.
Kerajaan juga katanya wajar mempertimbangkan inisiatif pendanaan swasta (PFI) bagi mengejar perubahan teknologi.
"Perlu naik taraf secara kerap."
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan berhasrat menjadikan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan semasa pandemik Covid-19 sebagai "aplikasi super" untuk penjagaan kesihatan awam.