- Iklan -
Berita

Subsidi bersasar tak selesaikan isu kos sara hidup, kata Fomca

Menurut Fomca pemberian subsidi bersasar perlu dibuat mengikut negeri kerana cabaran kos sara hidup adalah tidak sama.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Dua penduduk pangsapuri Sri Penara melihat sesuatu menerusi tingkap rumah mereka di Cheras.
Dua penduduk pangsapuri Sri Penara melihat sesuatu menerusi tingkap rumah mereka di Cheras.

Kerajaan disaran untuk melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan pemberian subsidi bersasar kerana ia perlu dibuat berbeza mengikut negeri, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Bercakap dengan MalaysiaNow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fomca Saravanan Thambirajah berkata situasi ini kerana setiap negeri mempunyai tahap kemiskinan tersendiri kerana mempunyai cabaran kos sara hidup yang tidak sama.

Contohnya, Saravanan berkata, individu yang meraih pendapatan sekitar RM8,000 di Kelantan atau Terengganu mungkin akan tergolong dalam kelompok pendapatan tinggi (T20) tetapi hanya berada dalam lingkungan M40 sekiranya menetap di Selangor atau Pulau Pinang.

Oleh itu, katanya, pemberian subsidi atau bantuan secara pukul rata dijangka tidak akan membantu menyelesaikan isu kos sara secara menyeluruh.

"Melangkah ke hadapan, kerajaan mungkin tidak lagi boleh tanggung (subsidi) untuk semua," katanya.

Namun begitu, Saravanan berkata, cabaran terbesar kerajaan pada masa ini ialah mengenal pasti siapakah kelompok yang layak menerima pemberian subsidi bersasar atau bantuan kerana penularan Covid-19 menyukarkan lagi keadaan.

Katanya, disebabkan pandemik, golongan M40 juga berdepan terjejas teruk dan ada yang terpaksa hidup seperti B40, tetapi mereka tidak menerima sebarang bantuan kerana tidak layak.

"Justeru, kerajaan perlu membuat kajian terperinci dan rujuk kepada masyarakat untuk betul-betul kenal pasti golongan yang layak menerima bantuan," kata Saravanan sambil menambah proses ini dijangka akan mengambil masa yang lama.

Mengulas mengenai isu simpanan rendah dalam kalangan masyarakat, Penganalisis Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli berpandangan isu ini sebenarnya didorong oleh masalah gaji rendah di Malaysia.

Bercakap dalam sesi webinar Isu Ekonomi Semasa baru-baru ini, beliau berkata, isu ini juga dilihat sebagai satu masalah berstruktur yang sudah lama melanda negara.

"Tak perlu roket sains. Ini bukan isu tak pandai jaga kewangan," katanya.

Zouhair berkata, isu ini secara tidak langsung menyebabkan ramai rakyat tidak mempunyai simpanan wang kecemasan, menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk menempuh cabaran kewangan ketika pandemik.

Katanya, ini menjadi antara faktor yang mendorong mereka terus mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran duit dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, antara satu lagi masalah berstruktur yang dilihat masih berterusan sehingga ke hari ini ialah isu graduan sukar mendapatkan pekerjaan setara dengan kelayakan mereka.

Katanya isu ini berpunca bukan disebabkan sikap graduan yang "memilih" pekerjaan sebaliknya peluang pekerjaan di pasaran yang kebanyakan tidak memerlukan kemahiran kelayakan pendidikan tinggi.

"Masalah utama ialah pekerjaan itu sendiri tiada.

"Cuba lihat, daripada 100 peluang pekerjaan yang ada, berapa banyak (sesuai) untuk graduan? Mungkin 15 sahaja," katanya.

Tambah beliau, isu ini sebenarnya diutarakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 apabila negara ini hanya meraih pelaburan berkualiti rendah.

Menurut Zouhair, sebab itu penting kerajaan menumpukan kepada usaha menarik pelabur berkualiti tinggi seperti syarikat yang terlibat sektor mesin dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Saya tak nampak juga komitmen dalam belanjawan terbaru ini nak letak pembahagian lagi tinggi kepada pekerja dari segi gaji. Kita sudah tahu gaji kita rendah.

"Mana keseriusan daripada pemerintah - tidak kira ditadbir siapa - kerana semua kerajaan dah lalui dan keadaan untuk pekerja masih tidak berubah," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.