- Iklan -
Berita

Ingat kuasa di sebalik reformasi, respon pengundi terhadap PH sifatkan pemuda pro-PN 'tak belajar tinggi'

Seorang bekas peserta himpunan reformasi tahun 90-an dan beberapa pengundi kali pertama kesal dengan kenyataan cuba memperkecilkan pengundi muda.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian penyokong Anwar Ibrahim berdemonstrasi di perkarangan Masjid Negara ketika kemuncak Reformasi bawaan Anwar di Kuala Lumpur pada 25 September, 1998. Penyokongnya membentangkan sepanduk berbunyi 'Hentikan Fitnah' dan 'Mahathir Zalim'. Gambar: AFP
Sebahagian penyokong Anwar Ibrahim berdemonstrasi di perkarangan Masjid Negara ketika kemuncak Reformasi bawaan Anwar di Kuala Lumpur pada 25 September, 1998. Penyokongnya membentangkan sepanduk berbunyi 'Hentikan Fitnah' dan 'Mahathir Zalim'. Gambar: AFP

Rahimi Abd Kadir menceritakan kembali kisahnya lebih dua dekad lalu, ketika dia bersama dua orang rakannya bersungguh-sungguh turun ke ibu negara dari kampung mereka di Kedah untuk menghadiri protes reformasi, slogan yang dilaungkan Anwar Ibrahim selepas pemecatannya dari kerajaan pada 1998.

Mereka ketika itu berusia dalam lingkungan 20 dan 21 tahun, dan merupakan antara ribuan anak muda yang menganggur di sebalik kegawatan ekonomi disebabkan krisis mata wang Asia. 

Rahimi diberhentikan kerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang.

Rakannya pula terpaksa menggulung tikar selepas tidak mampu meneruskan operasi bengkel motor.

Manakala seorang lagi rakannya hanya mengambil upah kerja kampung di Sik, Kedah. 

Dalam keadaan tidak berduit, banyak masa mereka diluangkan dengan melepak di depan rumah masing-masing, sambil rancak bercerita tentang politik negara ketika itu yang sangat hangat susulan pemecatan Anwar oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. 

Pada 2 September 1998, Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan di sebalik tuduhan salah laku seks.

Ia mencetuskan salah satu krisis terbesar dalam sejarah politik Malaysia, di mana Kuala Lumpur menjadi tumpuan protes besaran-besaran pimpinan Anwar yang mula melaungkan slogan reformasi, mengambil contoh apa yang berlaku setahun sebelumnya di Indonesia di mana protes reformasi secara besar-besaran berjaya menundukkan regim Suharto.

Rahimi masih ingat bagaimana anak muda ketika itu berkobar-kobar bercerita politik sepanjang hari melalui informasi yang disampaikan dalam surat khabar, kaca televisyen dan corong-corong radio. 

Suatu hari, mereka ambil keputusan untuk datang ke Kuala Lumpur dan menyertai himpunan dan protes jalanan di Dataran Merdeka, iaitu kawasan yang biasa menjadi tumpuan tunjuk perasaan antikerajaan ketika itu. 

"Tanya lah sesiapa yang pergi himpunan 20 September tu, budak-budak muda tak ada duit pun. Tapi mereka inilah yang menyokong depa tu sampai sekarang boleh jadi kerajaan," katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada Anwar yang akhirnya diangkat menjadi perdana menteri November tahun lalu.

Pendidikan dan pendapatan

Beliau melahirkan rasa kesal dengan kenyataan pemimpin PKR Saifuddin Nasution, yang baru-baru ini menganggap pengundi muda yang menyokong blok pembangkang Perikatan Nasional sebagai (PN) golongan tidak berpelajaran dan berpendapatan rendah.

"Depa dulu pun dapat sokongan orang muda tak ada duit," katanya.

Bulan lepas, Saifuddin berkata kaji selidik Pakatan Harapan mendapati pengundi yang tinggi pelajaran dan stabil pendapatan menyokong gabungan dipimpin Anwar itu.

“Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap, hat naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (Nasional)," katanya.

Rahimi berkata, ramai pemimpin termasuk Anwar dan Saifuddin berada di jawatan mereka sekarang disebabkan apa yang dilakukan anak-anak muda tersebut. 

"Ketika menang PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) pun hasil sokongan orang muda juga. Kenapa tak cakap benda yang sama?" katanya, merujuk pilihan raya 2018 yang menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional selepas enam dekad berkuasa.

Sementara itu, dua orang pengundi di Putrajaya turut kesal dan terkejut dengan kenyataan Saifuddin.

Hasriq, 23, menganggap serangan dan kritikan terhadap pengundi muda yang tidak sehaluan dengan kerajaan sebagai mentaliti "toksik" dan "dendam" segelintir ahli politik. 

"Sebelum pilihan raya sanjung anak muda bila kalah pilihan raya salahkan anak muda," kata Hasriq, antara jutaan anak muda yang dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya umum lalu selepas had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Bagi Alise yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, anak muda akan hilang sabar sekiranya ahli politik terus menjadikan mereka sebagai punca kekalahan. 

Alise yang turut mengundi buat kali pertama pada PRU lalu mengakui tidak berminat untuk mengundi, dan hanya akur apabila mendapati namanya didaftar secara automatik. 

"Orang politik kena ingat ya, yang buat Undi18 dan reformasi institusi ni semua bukan anak muda yang suruh. 

"Kamu dan geng kamu yang sendiri cadang dan laksanakan. Bila dah suruh undi tak boleh terima kenyataan," katanya.

Alise turut mempersoalkan cubaan mengaitkan sokongan besar anak muda kepada PN kepada populariti bahan dalam talian termasuk video-video di muat naik di TikTok.

"Ini bukan salah anak muda dan juga bukan salah TikTok. Tolong hentikan permainan salah menyalahkan orang," katanya. 

Video TikTok menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, terutamanya semasa pilihan raya umum baru-baru ini apabila penyokong parti politik menggunakan sepenuhnya jangkauan khalayaknya yang luas.

Baru-baru ini, platform video berpengkalan di China itu menafikan dakwaan ia berat sebelah dalam mempromosi video berbaur politik, di sebalik kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang mahu menyiasat tuduhan itu.