- Iklan -
Berita

Keluarga gesa Putrajaya buat pencarian baharu pesawat MH370 hilang 9 tahun lepas

Syarikat Ocean Infinity berharap dapat mulakan pencarian, gesa kerajaan terima sebarang cadangan atas dasar bayaran bersyarat, hanya dibayar jika berjaya jumpa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
MH370 tidak dapat dikesan selepas berlepas ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
MH370 tidak dapat dikesan selepas berlepas ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang secara misteri sembilan tahun lalu, pada Ahad menyeru Putrajaya membenarkan firma penerokaan dasar laut Amerika Syarikat (AS) Ocean Infinity memulakan pencarian baharu pesawat hilang itu.

Tragedi kehilangan pesawat MH370 yang merupakan salah satu misteri penerbangan terbesar dunia apabila ia hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada 2018, Malaysia menggunakan khidmat Ocean Infinity bagi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi, dengan menawarkan bayaran sehingga AS$70 juta (sekitar RM313.3 juta) jika ia menemui pesawat itu. Namun operasi itu buntu.

Pencarian firma itu dilakukan selepas Malaysia, China dan Australia menamatkan pencarian dalam air selama dua tahun pada Januari 2017, yang berharga AUD$200 juta (kira-kira RM605.87 juta) selepas tidak menemui sebarang kesan pesawat itu.

Pada Ahad, Voice370 - sekumpulan saudara mara mangsa yang berada di dalam pesawat itu - berkata, Ocean Infinity berhasrat memulakan pencarian baharu dan menggesa kerajaan Malaysia menerima sebarang cadangan dengan beberapa dasar bayaran bersyarat, supaya firma hanya akan dibayar jika berjaya.

"Ocean Infinity, sejak 12 bulan lalu mencapai kemajuan apabila bekerja dengan ramai orang untuk lebih memahami... peristiwa pada 2014," kata Voice370 dalam satu kenyataan, susulan majlis memperingati tahun kesembilan kehilangan MH370.

"Akhirnya, ini telah membuka peluang kepada mereka untuk menjalankan operasi pencarian yang berjaya."

Ocean Infinity dan Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Namun dalam mesej kepada keluarga yang dibacakan pada acara peringatan itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berikrar tidak akan "menutup buku" mengenai MH370, sambil menambah bahawa pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada pencarian masa depan jika terdapat "maklumat baharu dan boleh dipercayai."

Katanya, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang telah meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

Loke berkata tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Serpihan yang disahkan atau dipercayai dari pesawat MH370 dilaporkan hanyut di sepanjang pantai Afrika dan di pulau-pulau di sekitar Lautan Hindi.

Penyiasat Malaysia sebelum ini tidak membuat kesimpulan tentang apa yang berlaku di dalam penerbangan itu, dan ia juga tidak menolak kemungkinan yang pesawat itu sengaja dibawa keluar daripada laluan penerbangannya.