- Iklan -
Berita

Muhyiddin: Pinggirkan Felda dalam belanjawan dendam politik PH?

Bekas perdana menteri itu berkata nasib peneroka Felda yang dilihat menyokong PN tidak langsung diberikan perhatian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Peneroka Felda memunggah buah kelapa sawit di Felda Pasoh 4 di Jelebu, Negeri Sembilan.
Peneroka Felda memunggah buah kelapa sawit di Felda Pasoh 4 di Jelebu, Negeri Sembilan.

Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan kerajaan supaya tidak meminggirkan kebajikan peneroka Felda semata-mata kerana mereka dilihat menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi PN itu berkata nasib peneroka Felda tidak langsung diberikan perhatian pada Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Adakah kerajaan Madani ini tidak memandang warga Felda sebagai kelompok masyarakat yang penting dan memerlukan pembelaan?" katanya berucap di Dewan Rakyat hari ini.

“Atau ini sebenarnya dendam politik Pakatan Harapan terhadap warga Felda yang diketahui rata-rata menolak PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu?”

Muhyiddin merujuk kepada keputusan kerajaan yang tidak meneruskan inisiatif pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8 bilion atas alasan masalah kepada aliran tunai Felda.

Jelas Muhyiddin, inisiatif pelupusan hutang yang diumumkan di bawah kerajaan PN sebelum ini memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda kerana hutang-hutang mereka adalah hutang lapuk, di samping Felda juga sudah menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion yang dijamin kerajaan.

Muhyiddin dalam ucapannya turut menyifatkan Belanjawan 2023 tidak mempunyai hala tuju jelas dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan janji manifesto gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam belanjawan dibentangkan 24 Februari lalu.

Ia termasuk janji menyalurkan peruntukan sama rata bagi semua kawasan Parlimen termasuk yang dimenangi pembangkang, menghapuskan kartel sektor bahan makanan dan janji melupuskan hutang golongan miskin serta biasiswa untuk golongan B40.

“Beranikah Tambun (Anwar) mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik? Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto parti lain dalam kerajaan campuran?"

Muhyiddin mengingatkan janji dalam manifesto BN untuk memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan akan mengkreditkan “top up” secara automatik ke dalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan.

RM500 untuk akaun KWSP

Muhyiddin turut mengkritik cadangan belanjawan mengkreditkan RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000.

Katanya, ia hanya memanfaatkan segelintir pencarum sahaja sedangkan hampir 53% penyumbang caruman aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian tersebut.

“Golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama.

“Permintaan pencarum untuk mengeluarkan simpanan KWSP juga tidak dipedulikan. Jelas kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.