- Iklan -
Berita

Pelan kerajaan hadapi kegawatan ekonomi antara tumpuan Dewan Rakyat

Soalan berhubung insentif dan bantuan kerajaan, selain isu kenaikan kos umrah juga akan dibangkitkan hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu mendukung anaknya sambil membawa beberapa helai pakaian yang diambil dari sukarelawan ketika program menyantuni golongan miskin bandar dan gelandangan, pada 23 April 2022.
Seorang ibu mendukung anaknya sambil membawa beberapa helai pakaian yang diambil dari sukarelawan ketika program menyantuni golongan miskin bandar dan gelandangan, pada 23 April 2022.

Pelan kerajaan menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini merupakan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bertanyakan menteri kewangan sama ada kerajaan bersedia menyediakan insentif seperti subsidi upah, geran khas kepada perusahaan kecil dan sederhana, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan lain seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, pada sesi soal jawab.

Riduan Rubin (Bebas-Tenom) pula mahu menteri kewangan menyatakan perancangan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi  tahun ini.

Pada sesi sama, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) bertanyakan menteri perladangan dan komoditi mengenai sama ada kerajaan bercadang menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.50 kepada RM4.50 pada waktu ini.

Sementara itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula meminta menteri pelancongan, seni dan budaya menyatakan langkah yang telah diambil kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos mengerjakan ibadah umrah di Arab Saudi ketika ini.

Selesai sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar bagi hari kelima.