- Iklan -
Berita

Lebih 200 guru tak lapor diri, tolak tawaran penempatan ke Sarawak, menurut KPM

Jumlah ini daripada keseluruhan 3,227 guru 'one off', merangkumi guru lantikan tetap dan kontrak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menurut Kementerian Pendidikan, seramai 222 daripada 3,227 guru 'one-off' yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu setakat 30 September lepas.
Menurut Kementerian Pendidikan, seramai 222 daripada 3,227 guru 'one-off' yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu setakat 30 September lepas.

Seramai 222 daripada 3,227 guru “one-off” yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lepas, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen semalam memaklumkan 3,227 guru “one-off” itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” yang ditempatkan di Sarawak.

"Urusan pengambilan guru akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran," menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai bilangan guru pengambilan “one-off” dan CoS yang tidak melapor diri atau menolak tawaran ke Sarawak serta tindakan diambil KPM untuk mengisi kekosongan itu.

Menurut KPM guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Bagi pembangunan profesionalisme guru baharu, KPM telah melaksanakan Program Pembangunan Guru Baharu untuk membimbing dan membantu secara profesional dan berstruktur bagi membolehkan guru baharu mengadaptasi persekitaran, budaya dan komuniti sekolah.

"Guru baharu juga menerima bimbingan secara berterusan daripada guru mentor yang dilantik dalam meningkatkan kompetensi profesionalisme terutamanya kemahiran dan kepakaran bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran (PdP) dapat disampaikan dengan lebih berkesan," kata KPM.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.