- Iklan -
Berita

Masalah capaian internet dijangka selesai menjelang Jun, kata Fahmi

Ia mampu diselesaikan jika semua syarikat telekomunikasi bekerjasama seperti berkongsi menara, kata menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjawab pertanyaan para penonton sempena Town Hall Rakyat dihoskan pelakon terkenal Azhar Sulaiman di Kumpulan Karangkraf, 6 Mac. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjawab pertanyaan para penonton sempena Town Hall Rakyat dihoskan pelakon terkenal Azhar Sulaiman di Kumpulan Karangkraf, 6 Mac. Gambar: Bernama

Masalah capaian Internet dalam Malaysia terutama di kawasan luar bandar akan diselesaikan menjelang Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi bagi mengenal pasti serta mencari penyelesaian sewajarnya.

Katanya masalah itu mampu diselesaikan hampir sepenuhnya jika semua syarikat telekomunikasi dapat bekerjasama seperti berkongsi menara telekomunikasi. 

"Apa yang saya tegaskan kepada pihak MCMC ialah kalau boleh menjelang Jun ini, masalah perkongsian rangkaian dan mutu kualiti (capaian Internet) akan diselesaikan.

"Melalui perbincangan saya bersama syarikat telekomunikasi sebelum ini, mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama, mungkin perlukan sedikit masa antara mereka," katanya semasa program Townhall Rakyat bersama Fahmi Fadzil anjuran Sinar Harian semalam malam ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata capaian Internet tidak hanya boleh diukur dengan jumlah menara telekomunikasi di sesuatu tempat sebaliknya perlu dilihat berdasarkan keadaan dan geografi kawasan itu terutama yang melibatkan tiga peratus kawasan berpenduduk yang belum memiliki liputan. 

"Oleh itu, kita akan ikhtiarkan akses jalur lebar tanpa wayar yang akan menggunakan teknologi seperti satelit, mungkin kita akan teliti TV Wide Space dan beberapa teknologi lain yang akan membantu menyediakan akses," katanya.

Beliau juga berkata KKD sedang meneliti keperluan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya seiring dengan perkembangan digital semasa.