- Iklan -
Berita

Saifuddin guna kuasa menteri kecualikan Umno daripada Akta Pertubuhan

Ini berlaku ketika laporan bercanggah tentang pendirian RoS berhubung usul Umno menyekat dua jawatan tertingginya dipertandingkan dalam pemilihan parti.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama para pemimpin partinya ketika Perhimpunan Agung Umno, 13 Januari. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama para pemimpin partinya ketika Perhimpunan Agung Umno, 13 Januari. Gambar: Bernama

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasa menterinya untuk mengecualikan Umno daripada klausa dalam Akta Pertubuhan, membenarkan parti itu untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

Ia susulan gesaan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang meminta presidennya Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan kepada umum surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan parti itu agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini. 

Dalam satu kenyataan, Saifuddin berkata kementeriannya menerima usul tidak bertanding daripada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pada 3 Mac lepas.

Katanya, berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, beliau memutuskan untuk mengecualikan parti itu daripada pematuhan peruntukan di bawah Seksyen 13 akta sama tersebut.

Peruntukan itu menyatakan RoS boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika didapati melanggar mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan.

Tetapi Seksyen 70 Akta yang sama memberi menteri dalam negeri kuasa bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan bawahnya.

Terdapat laporan media yang bercanggah mengenai kandungan surat RoS tersebut, yang dilaporkan meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan.

Ini mendorong Ismail menggesa Zahid mendedahkan surat itu kepada umum.

“Satu kata RoS tolak, tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.