Kerajaan merancang untuk menggubal akta baharu iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan tahanan di penjara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan akta berkenaan sedang dalam proses dan dijangka dibentangkan tahun ini.
"Bila akta baharu ini digubal, dilulus di sini (Dewan Rakyat), dilulus Dewan Negara, diwartakan untuk kita laksanakan maka kes seperti dadah ditemukan dalam badan seseorang, kita terus salurkan kepada program rawatan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Sama ada di bawah rawatan pemulihan bawah institusi ataupun rawatan pemulihan dalam komuniti. Kalau kita hantar ke rawatan institusi bawah AADK, dia (pesalah bawah akta baharu itu) akan ditempatkan dua tahun, dia keluar dua tahun lagi sambung ke dalam rawatan peringkat komuniti.
"Kalau dia kita salurkan ke rawatan pemulihan komuniti, dia akan ditempatkan tiga tahun. Jadi berbeza sekarang (akta berkaitan dadah yang sedia ada), dia mungkin berakhir (hukuman) dalam penjara," katanya pada sesi soal jawab.
Saifuddin Nasution menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu komitmen kerajaan untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan penjara di Malaysia.
Beliau berkata dengan penggubalan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan, ia mampu memberi kesan yang signifikan dari segi mengurangkan kesesakan di penjara.
"Hari ini, kita ada 39 penjara seluruh negara dan kapasiti sekarang, tahanan di dalamnya berjumlah 74,459 pesalah, reman dan sabitan, sedangkan keupayaan penjara kita cuma asalnya sekitar 65,000.
"Kita harap nanti bila kita laksanakan akta ini kita mampu untuk mengurangkan kesesakan penjara kerana kesalahan jenis tadi (dadah kecil), dia (pesalah) tidak ditempatkan di penjara sebaliknya ke pusat pemulihan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan tahanan dalam penjara antaranya diberi parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen kepada pesalah.
"Inisiatif ini sangat berjaya. Apabila melihat angkanya melalui inisiatif-inisiatif ini, setiap 800 (banduan diberi parol, perintah kehadiran wajib pesalah dan pembebasan berlesen) hanya satu sahaja patah balik ke penjara," katanya dan menjelaskan angka itu melibatkan pesalah yang menjalani hukuman bawah tiga tahun termasuk komponen kesalahan dadah.
Saifuddin Nasution berkata menerusi inisiatif berkenaan, ia juga menjimatkan kira-kira RM17 juta perbelanjaan kerajaan, pada tahun lepas.
"Bukan sahaja penjimatan tetapi mereka (pesalah) juga bebas bergaul dengan masyarakat maka inisiatif ini wajar mendapat sokongan dan dukungan semua Ahli Berhormat dalam dan luar Dewan ini," katanya.