- Iklan -
Berita

Facebook Najib diserang selepas pertikai desakan pengeluaran KSWP bersasar

Rata-rata pengguna Facebook tidak berpuas hati dengan Najib kerana merasakan cadangan Muhyiddin lebih tepat dan bersesuaian dengan permintaan mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.

Media sosial bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dipenuhi dengan kecaman netizen selepas mempertikaikan cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin agar membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Najib, setahun lepas turut mendesak pengeluaran KWSP bersasar, menulis di Facebooknya mengatakan kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh ketika berucap di Dewan Rakyat berkata kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM1 bilion tanpa perlu mengeluarkan peruntukan besar itu. 

"Ya, ke? Muhyiddin dah dapat persetujuan dari setiap 2 juta ahli KWSP yang layak bahawa mereka sudi lepaskan pemberian RM500 tersebut?" tulis Najib di Facebook.

Rata-rata pengguna Facebook pula tidak berpuas hati dengan Najib kerana merasakan cadangan Muhyiddin lebih tepat dan bersesuaian dengan permintaan mereka kerana desakan orang ramai adalah pengeluaran KSWP secara bersasar.

Mereka mengatakan Najib tidak memahami apa yang rakyat mahukan kerana beliau sendiri mengulas tentang topik yang berbeza.

"Orang yang berumur 40 tahun dan ke atas tapi tabungannya kurang RM10,000. Golongan yang macam mana la tu ya.

"Mintak ‘disclose’ kan kalau nak buat apa-apa manfaat patut menyeluruh bukan asal ada saja," tulis Hairosnizam Roslan di komen Facebook Najib yang dimuat naik pada Isnin.

Terdapat juga pengguna yang mempersoal data tersebut sebagai tidak berasas dan perlu dinyatakan oleh kerajaan secara telus.

"Nak fikir secara logik, ada ke yang simpanan kurang dari RM10,000 antara umur 40-54 tahun?" tulis Mohd Ashraf.

Seorang pengguna pula, Alidie Sofhia menulis komen menyebutkan kerajaan memberikan sesuatu yang tidak pun diminta oleh rakyat kebanyakan.

"Mereka yang dapat RM50,000 tu pun lebih setuju untuk keluarkan simpanan mereka ketika ini.

"Orang kaya duduk penjara tak tahu keperluan rakyat yang mendesak ketika ini," kata Faizal Hud. 

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.

Mereka menyuarakan hal itu melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar sejak lebih seminggu lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum ini, berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.