- Iklan -
Berita

Kerajaan panggil waris sultan Sulu ke mahkamah berhubung tuntutan hartanah Malaysia di Paris

Putrajaya mahu penuntut itu hadir ke mahkamah sama yang membenarkan pembatalan pendaftaran gadai janji tersebut, kata Sekretariat Khas Sulu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Gambar: Bernama
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Gambar: Bernama

Kerajaan Malaysia hari ini berkata ia akan memanggil waris sultan Sulu ke mahkamah dalam pertikaian membabitkan tiga hartanah kerajaan di Paris, susulan tuntutan waris itu yang mahukan pampasan AS$15 bilion (RM67.86 bilion).

Waris sultan Sulu dari Filipina itu kali terakhir mendapat pampasan di mahkamah timbang tara Perancis pada tahun lepas, dalam pertikaian mengenai perjanjian tanah era penjajah, yang Malaysia hormati sehinggalah 2013 apabila tragedi berdarah Lahad Datu bermula. 

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, kekal menganggap proses berkenaan sebagai tidak sah.

Minggu ini Reuters melaporkan waris sultan Sulu mendapat kelulusan daripada mahkamah Perancis untuk merampas tiga hartanah Malaysia di Paris, malah pegawai mahkamah cuba menilai hartanah itu pada Isnin sebagai sebahagian daripada usaha untuk melupuskan aset tersebut. 

Pegawai Malaysia di Paris bagaimanapun berjaya menghalang usaha itu, kata kerajaan Malaysia.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, pihak mahkamah sudah menghubungi kedutaan Malaysia di Paris dan dua kediaman kakitangan untuk meminta akses ke premis itu bagi mendapatkan penerangan mengenai hartanah tersebut, tetapi dinafikan akses oleh kakitangan diplomatik.

"Ini bukan percubaan untuk merampas hartanah itu," kata Sekretariat Khas Sulu, jabatan yang diwujudkan sebagai pusat tumpuan utama bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu.

Tambahnya, nasihat undang-undang awal yang diberikan kepada Malaysia mencadangkan pegawai bailif diminta oleh pihak yang menuntut untuk mendapatkan penerangan tentang hartanah tersebut "berdasarkan gadai janji berkanun yang didaftarkan di premis itu" pada November.

Malaysia bercadang untuk memanggil pihak yang menuntut itu hadir ke mahkamah sama yang membenarkan pembatalan pendaftaran gadai janji itu, kata sekretariat.

Kerajaan sebelum ini berikrar untuk mengambil semua langkah undang-undang bagi melindungi asetnya di seluruh dunia.

Peguam kepasa waris sultan Sulu, Elisabeth Mason berkata, Malaysia dikelirukan dengan cadangan yang tindakan diambil oleh bailif pada Isnin adalah di luar perintah rampasan yang dibenarkan mahkamah.

"Perintah mahkamah memberi arahan kepada bailif untuk memasuki hartanah bukan diplomatik dengan melihat kepada penilaian dan penjualan bagi memenuhi hutang Malaysia," kata Mason.

Tambahnya, perintah rampasan Perancis itu berdasarkan pampasan awal yang dikeluarkan di Sepanyol, yang tidak terikat dengan keputusan mahkamah di Perancis.

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan sultan Sulu untuk wilayahnya digunakan, yang kini merupakan sebahagian daripada Malaysia – perjanjian yang diiktiraf Malaysia hingga 2013 dengan membayar pajakan secara tahunan.

Malaysia menghentikan pembayaran pada 2013 selepas pencerobohan berdarah oleh penyokong bekas kesultanan yang ingin menuntut semula tanah tersebut dari Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.