- Iklan -
Berita

Muhyiddin bakal ditahan, politik negara semakin panas

MalaysiaNow difahamkan presiden Bersatu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan didakwa dan MalaysiaNow difahamkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.

Setakat ini, masih belum jelas pertuduhan yang akan dikenakan terhadap presiden Bersatu itu yang mengetuai kerajaan semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Akan tetapi desas-desus ini muncul selepas beberapa minggu pemimpin kerajaan menyerang Bersatu, disusuli dengan soal siasat terhadap pemimpin parti itu berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

Pada 20 Februari, Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa SPRM.

Sebarang langkah menahan Muhyiddin dijangka akan memanaskan lagi suhu politik negara.

Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hilang undi Melayu kepada PN.

MalaysiaNow sedang menunggu maklum balas daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai spekulasi terbaru ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.