- Iklan -
Berita

Penduduk Wilayah Persekutuan paling ramai alami kemurungan, kata menteri

Kos sara hidup tinggi, masalah perhubungan, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan substans dan jangkaan tinggi terhadap diri sendiri antara faktor ramai alami kemurungan, kata Dr Zaliha.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Penduduk Wilayah Persekutuan adalah negeri yang paling ramai mengalami masalah kemurungan dan kebimbangan (anxiety) melampau disebabkan beberapa faktor termasuk kos sara hidup yang tinggi. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata berdasarkan saringan yang dijalankan pada 2022, antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah itu adalah tekanan daripada ibu bapa dan masalah perhubungan dengan rakan sebaya.

“Golongan B40 juga ramai di Wilayah (Persekutuan) dan kita menemui ramai yang miskin bandar di Wilayah. Selain itu masalah perhubungan serta tekanan contohnya daripada ibu bapa... jadi stres anak-anak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu negeri paling tinggi menghadapi masalah mental dan kemurungan.

Sementara itu, Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental yang dialami oleh masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak remaja, golongan muda dan warga emas.

Menurutnya kebanyakan masalah kesihatan mental yang dihadapi golongan muda dipengaruhi oleh faktor sosial seperti masalah kewangan, masalah perhubungan, buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan substans, rasa rendah diri dan jangkaan yang tinggi terhadap diri sendiri yang menyumbang kepada stres yang tinggi, keresahan dan kemurungan.

Bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda, Zaliha berkata KKM telah melaksanakan inisiatif seperti perkhidmatan kesihatan mental di 1,161 klinik kesihatan, 58 hospital, 34 pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), serta empat institusi mental meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

Selain itu, Program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan yang meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat KPM dan Modul Kesihatan Mental Remaja KKM.

“Bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga emas, KKM telah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental di klinik kesihatan bagi mengesan awal masalah seperti dementia,” katanya. 

Zaliha menjawab soalan asal Mohd Sany yang ingin tahu langkah KKM dalam mengatasi masalah kesihatan mental yang dialami  golongan muda dan warga emas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.